Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, May 2, 2016

‘SYUKUR... APA BERLAKU ADA HIKMAH, PENGAJARANNYA'


Ahmad Razif Abdul Rahman


Kuala Terengganu - "Syukur ... saya yakin apa yang berlaku ada hikmah dan pengajarannya", kata Ahmad Razif Abdul Rahman susulan pengesahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa beliau kekal sebagai Menteri Besar Terengganu.

Dalam kenyataan media semalam, Ahmad Razif berkata beliau turut bersyukur di atas segala nikmat dan kurniaan yang diberikan ALLAH serta berterima kasih kepada Najib di atas kepercayaan yang diberikan terhadapnya.

"Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana memberi kepercayaan terhadap saya serta komitmen yang diberikan oleh beliau dalam menyelesaikan isu yang melanda negeri ini sejak minggu lalu.

"Segala spekulasi serta tanggapan yang dibuat sepanjang minggu lalu telah pun terjawab pada hari ini melalui pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri.

Oleh itu, saya menyeru kepada semua kepimpinan negeri Terengganu untuk terus bergerak ke hadapan dan berjuang untuk negeri dan rakyat demi kesejahteraan semua," katanya.

Sebelum ini timbul pelbagai spekulasi mengenai kedudukan Ahmad Razif apabila Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin melucutkan semua darjah kebesaran yang dikurniakan kepada beliau berkuat kuasa Jumaat, 22 April.

Najib semalam berkata Ahmad Razif kekal sebagai Menteri Besar Terengganu dan keputusan itu dibuat selepas beliau menghadap Sultan Terengganu semalam untuk membincangkan isu mengenai kedudukan Menteri Besar.


0 comments:

share2