Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, May 2, 2016

[KUANTAN] LEBIH 100 KENA TAHAN


Lebih 100 kena tahan


Polis menahan lebih 100 individu berusia lingkungan 17 hingga 50 tahun membabitkan kesalahan dadah dalam Ops Tapis bersepadu di sekitar daerah ini, Khamis lalu.

Selain tangkapan di bawah Seksyen Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, 15 tangkapan lagi melibatkan lain-lain kes seperti Enakmen hiburan, Akta Kesalahan Jenayah Syariah 2013 dan Akta Imigresen.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, dalam operasi selama sehari yang berakhir 7 petang kelmarin, polis merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM850.

"Kita merampas 7.75 gram syabu dan 0.88 gram ganja dalam beberapa serbuan di sekitar daerah ini.

“Dalam operasi itu kita menangkap seorang lelaki di bawah Seksyen 39A (1) ADB 1952 atas kesalahan mengedar membabitkan dadah jenis syabu di sebuah hotel bajet di bandar ini manakala, tujuh tangkapan atas kesalahan memiliki," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media di sini, kelmarin.

Abdul Aziz berkata, seramai 87 individu turut ditahan atas kesalahan urin mengikut Seksyen 15 (1) (a) ABD 1952 dan tiga lagi mengikut Seksyen 3 (1) APD 1983.

Katanya, empat lelaki termasuk seorang Orang Asli turut ditahan berasingan di Kampung Baru Gambang dan Lepar Hilir 3, mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 kerana memiliki air dan daun ketum untuk tujuan penjualan.

“Kita anggarkan nilai rampasan ini RM10,000 mengikut harga semasa daun ketum. Kalau ikutkan harga ketum sekilogram dianggarkan bernilai RM35, air yang siap diproses dijual pada harga RM5 sebungkus.

“Pemeriksaan lanjut terhadap air ketum ini akan dilakukan sama ada ia mengandungi campuran dadah atau sebaliknya,” katanya.

Lapan balai dalam daerah ini terlibat dalam Ops Tapis yang dijalankan dengan kerjasama 40 anggota penguatkuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), 32 anggota penguatkuasa Jabatan Agama Islam dan sukarelawan polis.

Abdul Aziz berkata, operasi itu bertujuan membersihkan kawasan yang dijadikan tempat pengedaran dan penagihan dadah selain membanteras aktiviti tidak bermoral di kawasan tumpuan penagih.

“Ini antara Polis untuk mengenal pasti individu yang terlibat dalam pengedaran dan penagihan dadah,” katanya.


0 comments:

share2