Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, May 5, 2016

[ROMPIN] `KAMI TAK SANGGUP LAGI HIDU ASAP'


‘Kami tak sanggup lagi hidu asap’


Aktiviti harian penduduk berhampiran Tebu Hitam di sini, terjejas akibat kebakaran belukar yang berlaku sejak beberapa hari lalu.

Beberapa lokasi kebakaran yang berlaku di sepanjang kira-kira lima kilometer jalan itu turut menjejaskan penglihatan pengguna jalan raya, namun tidak sepanjang masa kerana ia bergantung pada tiupan angin.

Penduduk Kampung Derahman, Tiah Tek, 70-an berkata, rumahnya dan beberapa jiran lain seolah-olah terkepung kerana dikelilingi kebakaran belukar yang berlaku kira-kira seminggu lalu.

Menurutnya, ada jiran yang juga saudaranya mengadu semput disebabkan rumah diselubungi asap dibawa angin termasuk habuk kebakaran.

“Kami di sini dah lemas bila kawasan seberang jalan terbakar dan belakang rumah pun ada terbakar... kami yang tinggal di sini pun dah naik semput hidu asap.

“Bomba ada padam kebakaran, tetapi lepas satu tempat padam, tempat lain pula terbakar. Jadi siang malam kami terpaksa hidu asap. Habuk kebakaran pun boleh nampak atas lantai dalam rumah,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Tiah, tahun lalu dan sebelumnya pernah terjadi kebakaran di kawasan Tebu Hitam, tetapi kali ini lebih teruk ditambah cuaca panas serta kering disebabkan tidak hujan.

Pengguna jalan raya, Noridzul Hanif Abdul Rahim, 27, berkata, sejak beberapa hari lalu, dia terpaksa menempuh asap yang memenuhi jalan apabila melalui kawasan Tebu Hitam sekitar jam 9 pagi untuk berniaga di Bandar Kuala Rompin.

Bagaimanapun, menurutnya, pagi semalam asap sudah berkurangan berbanding hari-hari sebelumnya kerana penglihatan lebih jelas dan bau asap juga sudah tidak kuat.

“Kalau dilihat ia seperti kabus sebab waktu pagi, tetapi asap sebenarnya. Saya jarang pakai pendingin hawa dan tingkap kereta sentiasa terbuka, memang jelas dapat hidu bau asap,” katanya.

Bomba hadapi kesukaran

Sementara itu, Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Rompin, Pegawai Bomba Kanan I, Mohd Shukri Abd Rahim yang ditemui berkata, sejak semalam (kelmarin) terdapat kira-kira tujuh lokasi kebakaran melibatkan ladang dan belukar sekitar Kuala Rompin.

Menurutnya, selepas tindakan diambil, empat daripadanya termasuk tiga kawasan ladang telah dipadamkan sepenuhnya pasukan terlibat manakala bakinya terus dipadamkan menerusi operasi semalam.

“Hari ini (semalam) kita teruskan operasi padam baki lokasi kebakaran yang masih ada iaitu di kawasan belukar berhampiran jalan utama berdekatan Taman Nusa Puteri dan Kampung Derahman, Batu 3.

“Baki luas kebakaran belukar di Tebu Hitam ini dianggarkan tinggal 0.8 hingga 1.2 hektar dan pasukan dengan kekuatan lapan anggota termasuk seorang pegawai ditugaskan secara bergilir melibatkan dua jentera serta beberapa pam angkut,” katanya.

Beliau tidak menafikan wujud kesukaran sepanjang operasi pemadaman melibatkan tiga faktor iaitu keadaan angin yang bertiup kuat terutama pada waktu tengah hari, sumber air terbuka tiada disebabkan parit kering kerana cuaca panas dan terdapat lokasi yang jauh ke dalam belukar.

“Setakat ini pasukan yang bertugas mengikut syif biasa iaitu satu pasukan akan siap sedia di balai untuk sebarang kebakaran lain melibatkan harta benda awam. Kita juga berterima kasih kepada agensi kerajaan lain seperti JKR yang turut membantu membuat fire breaker dan laluan untuk ke lokasi kebakaran belukar,” katanya.


0 comments:

share2