Belum reda kesedihan di atas kehilangan isteri yang meninggal dunia ketika melahirkan anak pada 20 Mei lalu, seorang lelaki Orang Asli di Kampung Belankap di sini, diuji sekali lagi apabila rumahnya musnah terbakar kelmarin.
Lebih menyedihkan, selain perlu menjaga bayi masih kecil selepas ini, dia juga perlu menguruskan empat lagi anak berusia lapan hingga 18 tahun seorang diri.
Hussin Seman, 53, berkata, dia bersyukur kerana mereka sekeluarga selamat walaupun tinggal sehelai sepinggang.
Menceritakan detik cemas itu, dia berkata, generator digunakan sebagai sumber tenaga elektrik di rumahnya mengalami kerosakan, justeru lilin terpaksa digunakan dan diletak atas kerusi plastik untuk menerangi rumahnya pada malam kejadian.
“Kira-kira jam 11 malam, saya dah nak tidur dan mulanya ingat nak padamkan api lilin tapi tak buat sebab terus tertidur.
“Dalam jam 12 lebih, saya tersedar apabila anak kejutkan dan beritahu rumah dah terbakar.
“Masa tu saya panik dan terus bawa keluar semua anak. Kami tak boleh buat apa-apa sebab api marak terlalu cepat, sebaliknya hanya mampu minta tolong orang kampung untuk padamkan api,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini.
Hussin yang mengusaha ladang sawit di kampung itu turut bimbangkan keadaan bayinya yang belum stabil dan masih berada di hospital.
Katanya, dia tidak dapat menjenguk bayinya kerana terpaksa menguruskan anak-anak lain dan rumah yang terbakar.
“Nasib baik ada saudara terdekat tinggal berhampiran dan buat sementara waktu ini kami akan tumpang di rumahnya. Saya nak ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Razali Yazit berkata, pihaknya bergegas ke lokasi sebaik dimaklumkan mengenai kebakaran itu namun keseluruhan rumah mangsa sudah musnah terbakar.
Dalam pada itu, nasib menimpa Hussin dan anak-anaknya mendapat perhatian Adun Muadzam Shah, Datuk Seri Maznah Mazlan yang melawat mereka bersama wakil agensi kerajaan berkaitan untuk menghulurkan sumbangan.
Katanya, pada 22 Mei lalu beliau bersama seorang Pegawai Kesihatan Daerah dan dua jururawat menemui Hussin sekeluarga bagi menjelaskan sebab kematian isterinya selain memberikan kaunseling dan menghulurkan sumbangan peribadi kepada mereka.
“Saya sendiri menghubungi Ketua Pengarah Jakoa di Kuala Lumpur dan beliau meluluskan peruntukan bagi membuat rumah baharu sejumlah RM40,000 yang dijangka akan dapat disiapkan dalam masa tiga bulan.
“Sumbangan kilat turut diberikan pelbagai pihak termasuk saya, Jakoa dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Rompin berbentuk wang tunai, hamper makanan, kelengkapan pembersihan diri, kelengkapan tidur serta pakaian terpakai disumbangkan oleh penduduk Muadzam Shah,” katanya.
0 comments:
Post a Comment