Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, May 3, 2016

PENGUSAHA BOT DITAWAR AMBIL LESEN RM50


Pengusaha bot ditawar ambil lesen RM50


Besut - Kerajaan negeri Terengganu menawarkan bayaran serendah RM50 kepada pengusaha dan pemandu bot pelancong di Pulau Perhentian bagi membolehkan mereka mendapatkan lesen bot yang sah.

Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, tawaran tersebut diberi hanya sehingga hujung bulan ini dan terhad kepada pengusaha sedia ada sahaja.

"Saya memberi satu tawaran kepada pengusaha dan pembawa bot yang memberi perkhidmatan ke Pulau Perhentian supaya mereka mengambil peluang sekali ini sahaja yang diuruskan oleh Jabatan Laut.

"Kalau mereka menyertai kursus mengambil lesen ini mereka hanya perlu bayar RM50 dan bakinya akan diberi subsidi oleh kerajaan negeri. Mereka perlu ada lesen...mereka perlu diberi maklumat-maklumat yang patut dan sewajarnya serta memastikan bot mereka mempunyai peralatan keselamatan," katanya dalam sidang media selepas mengadakan perjumpaan bersama pengusaha chalet di Pulau Perhentian semalam.

Ahmad Razif berkata kadar bayaran lesen bot sebenar ialah RM800 dan keputusan sedemikian dibuat bagi mengatasi masalah lambakan pengusaha bot yang tidak berlesen.

Menurutnya, terdapat aduan bahawa ada segelintir pengusaha tidak berlesen ini mengabaikan keselamatan penumpang hingga sanggup menggunakan lampu suluh sahaja pada waktu malam ketika membawa pelancong.

"Pada April sahaja berlaku tiga kemalangan dan kita melihat penyebab utamanya adalah kerana terlampau banyak pengusaha bot sampai 400 lebih pengusaha bot yang ada di sini.

"Jadi yang paling mustahak kita perlu sahkan dulu kerana sudah pasti peraturan-peraturan yang kita hendak kenakan nanti perlu memastikan mereka ini mempunyai kelengkapan-kelengkapan yang sepatutnya," katanya.

Sementara itu, mengenai pemasangan 'water cable' di pulau Perhentian Kecil ke pulau Perhentian Besar, Ahmad Razif berkata ia telah dipersetujui dan dijangka akan dilaksanakan dalam masa terdekat melibatkan kos lebih daripada RM46 juta.

Menerusi lawatan kerja Ahmad Razif ke Pulau Lang Tengah dan Pulau Perhentian hari ini, beliau mengesan terdapat beberapa permasalahan di kawasan tersebut seperti pembuangan sampah dan penempatan bot yang merbahaya kepada pelancong.

Jelasnya, Jabatan Laut telah diarahkan untuk mengenal pasti kawasan sesuai dijadikan pusat meletakkan bot supaya ia tidak mengganggu dan mencederakan mereka yang sedang melakukan aktiviti selam snorkel.

Beliau turut berpuas hati dengan kebersihan dan fasiliti yang ada di kedua-dua pulau ini, dan kerajaan negeri akan mengambil tindakan terhadap beberapa perkara yang perlu ditambah baik.

"Lepas ini saya akan ke Pulau Kapas pula kerana kita nak jadikan pulau ini sebagai satu pemangkin yang boleh menarik minat pelancong terutama dari luar negara untuk berkunjung ke Terengganu.

"Bidang pelancongan ini menjadi satu bidang yang perlu diperkasakan dan boleh membantu ekonomi negeri Terengganu kerana kita tidak boleh lagi berharap 100 peratus kepada hasil petroleum.Jadi kita perlu memikirkan alternatif lain yang boleh menambahkan pendapatan terutama kepada pendapatan rakyat dan pendapatan negeri," katanya.


0 comments:

share2