Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, May 2, 2016

DITETAK DI KEPALA, DIKELAR SELURUH BADAN ANGKARA DENDAM


Ditetak di kepala, dikelar seluruh badan angkara dendam


Seremban - Dipercayai kerana dendam, seorang lelaki diserang bertubi-tubi dan ditikam oleh empat penjenayah di rumahnya di Taman Desa Temiang dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu berlaku ketika mangsa berusia 46 tahun sedang tidur di rumahnya sebelum dikejutkan dengan kehadiran suspek yang bersenjatakan parang, pisau dan pistol.

“Mangsa yang sedang tidur dikejutkan bunyi hentaman pintu biliknya dan tiga suspek bersenjatakan parang serta pisau terus menyerangnya manakala seorang lagi bersenjatakan pistol mengawasi penghuni bilik lain.

“Mangsa cuba melarikan diri, namun gagal dan terus diserang bertubi-tubi sebelum kesemua suspek melarikan diri selepas melihat mangsa parah,” katanya.

Menurutnya, mangsa cedera parah akibat ditetak di kepala, dikelar pada keseluruhan badan serta ditikam pada bahagian dada dan rusuk sebelah kiri.

Muhamad Zaki berkata, mangsa telah dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di sini oleh orang awam namun disahkan meninggal dunia.

“Isteri mangsa pada awalnya mendapat maklumat mangsa disamun telah membuat laporan polis, namun hasil siasatan dijalankan mendapati kejadian berlaku menjurus kepada dendam.

“Berdasarkan maklumat yang ada gerakan memburu suspek telah dijalankan dan dua daripada suspek berusia 22 tahun telah berjaya ditangkap semalam di sekitar Mantin dan Cheras, Selangor,” katanya.

Selain itu katanya, beberapa telefon bimbit, sebuah kereta jenis Proton Persona dan simkad milik kedua-dua suspek telah dirampas bagi membantu siasatan.

Kata Muhamad Zaki, sebanyak 210 biji pil erimin- 5 dengan berat dianggarkan 57.90 gram turut dirampas dari salah seorang suspek.

“Siasatan masih diteruskan termasuk mengenal pasti motif sebenar kejadian yang dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini,” katanya.


0 comments:

share2