Labis - Tanaman nanas mampu memberi pulangan lumayan jika diusahakan dengan betul kerana permintaan serta harga pasarannya lebih stabil berbanding tanaman lain seperti getah dan kelapa sawit.
Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Wilayah Selatan, Norazman Mohd Yusuf berkata, pengeluaran tanaman nanas boleh mencecah sehingga 50 tan sehektar dengan harga jualan sekitar RM1,000 hingga RM3,000 bagi setiap tan.
“Persepsi masyarakat kononnya tanaman nanas hanya sesuai untuk tanah gambut serta tempoh penuaian sehingga 14 bulan adalah cabaran terbesar yang menghalang nanas ditanam secara lebih meluas di Johor, yang juga pengeluar utama nanas negara ketika ini.
“Sebenarnya tanaman ini boleh ditanam tanpa mengira jenis tanah, malah nanas yang ditanam di kawasan berbukit lebih manis berbanding di kawasan tanah gambut yang mempunyai kandungan asid lebih banyak,” katanya ketika ditemui di Mini Agro Johor di Dataran Labis, malam kelmarin.
Menurutnya, penduduk di daerah ini digalakkan merebut pelbagai insentif yang disediakan kerajaan untuk menceburkan diri dalam penanaman nanas kerana tanah di kawasan ini sesuai untuk tanaman itu dan boleh memberi pulangan lumayan.
Katanya, Projek Pengukuhan Tanaman disediakan LPNM menyediakan bantuan sebanyak RM5,000 dalam bentuk input pertanian seperti baja bagi setiap hektar tanaman nanas yang diusahakan petani.
“Selain harga pasaran serta permintaan yang sentiasa tinggi, hasil tanaman ini tidak bermusim dan boleh dirancang pengeluarannya melalui tanaman mengikut plot terancang.
“Walaupun tempoh tuaian nanas adalah 14 bulan dari tarikh ditanam, namun tanaman secara terancang mengikut plot dengan tempoh tanaman yang berbeza mampu menghasilkan tuaian sepanjang tahun, sekali gus menyelesaikan masalah tempoh tuaian yang lama kepada petani,” katanya.
Tambah Norazam, setakat ini keluasan tanaman nanas di negeri ini adalah 800 hektar dengan penghasilan lebih 400 tan setahun.
"Justeru, kita berharap penyertaan petani di Segamat dalam masa terdekat mampu memenuhi permintaan yang tinggi terhadap nanas ketika ini," katanya.
0 comments:
Post a Comment