Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, May 2, 2016

[KUANTAN] ELAK KAWASAN TERCEMAR


Elak kawasan tercemar


Pengunjung lokasi pelancongan diingatkan supaya tidak membuang sampah merata-rata bagi mengelakkan kawasan dikunjungi itu tercemar.

Pengarah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia cawangan Pahang, Datuk Idros Yahya berkata, Kempen Bawa Turun Sampah dilaksanakan sejak awal tahun ini bagi memelihara lokasi pelancongan di negeri ini.

Menurutnya, kempen itu bukan sahaja melibatkan bukit, tetapi pulau dan kawasan pelancongan lain.

“Setakat ini, empat lokasi sudah dipilih untuk kempen ini dan mendapat respons positif daripada pelancong dan NGO.

“Kempen ini dilaksanakan selepas melihat kawasan pelancongan menjadi tumpuan ramai, dicemari sampah yang ditinggalkan pengunjung.

“Bagi mereka yang sudah biasa ke lokasi berkenaan, mereka tahu etika ketika berada di kawasan tersebut, namun bagi pengunjung yang tidak biasa, mereka ambil mudah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, semalam.

Idros berkata, kebanyakan sampah yang dikutip sepanjang kempen dijalankan adalah bekas bungkusan makanan, kotak minuman dan plastik.

Beliau berkata, pihaknya kini dalam proses memberi kesedaran dan mendidik semua pihak termasuk NGO yang sering berkunjung ke lokasi pelancongan.

“Sebelum ini, kempen dilakukan di Bukit Pelindung, Kuantan, Pulau Tioman dan terbaru di Bukit Panorama yang mana program dicadangkan oleh Persatuan Pendaki.

“Kerjasama seperti inilah yang kita mahukan apabila kesedaran datang daripada NGO dan orang ramai. Di peringkat kementerian, kami mengalu-alukan orang ramai melaksanakan kempen tersebut,” katanya.


0 comments:

share2