Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, May 26, 2016

[KUANTAN] AZRI DILANTIK TIMBALAN KETUA POLIS PAHANG BAHARU


Datuk Azri Ahmad


Bekas Komandan Maktab Teknik PDRM Bakri, Muar, Johor, Datuk Azri Ahmad dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Pahang yang baharu, berkuat kuasa semalam.

Beliau menggantikan Datuk Fatimah Ghazali yang dinaikkan pangkat sebagai Komisioner Polis dan menjawat jawatan Pengarah Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi Bukit Aman (StaRT) bermula 13 Jun ini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Sharifuddin Ab Ghani berkata, beliau mengalu-alukan kehadiran Azri yang disifatkannya seorang berpengalaman luas.

“Pahang bukan satu negeri yang asing bagi Datuk Azri kerana beliau mendapat pendidikan awal di sekolah rendah dan menengah di Kuantan.

“Saya yakin pengalaman beliau berkhidmat sebagai Ketua Polis Daerah Ampang juga akan memainkan peranan penting dalam membuat operasi di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Pahang dan Naib Pengerusi Perkep Kontinjen Pahang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini semalam.

Sementara itu, Azri berkata, perkara pertama akan dilakukannya ialah belajar dan mendapatkan gambaran mengenai situasi terkini di negeri ini.

“Kita belajar dulu, saya baru memulakan tugas di sini semalam (kelmarin) dan saya akan dapatkan segala maklumat diperlukan dengan bantuan dan tunjuk ajar daripada Datuk Seri Sharifuddin, saya difahamkan setakat ini Pahang tiada masalah,” katanya.


0 comments:

share2