Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, May 22, 2016

[KUANTAN] AMBIL KIRA PANDANGAN REDHA


Ambil kira pandangan Rehda


Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) berharap polisi atau arahan yang dilaksana kerajaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat mengambil kira pandangan Rehda mengenai perangkaan polisi untuk manfaat orang ramai.

Pengerusi Rehda negeri, Chua Say Chai berkata, kerjasama itu penting antara pemaju dan PBT atau jabatan teknikal dalam proses pelaksanaan sesuatu projek pembangunan yang meliputi syarat semasa kelulusan permohonan pelan seperti pre-comp, infrastruktur dan pelan bangunan.

Menurutnya, Rehda turut berharap Jabatan Teknikal dapat memberi kerjasama dalam hal ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Perasmian Ekspo Hartanah dan Perumahan Malaysia (Mapex) Pahang 2016 di pusat beli belah Berjaya Megamall di sini, kelmarin.

Ekspo selama tiga hari bermula 20 Mei lalu dan berakhir hari ini dirasmikan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Datuk Fadzilla Salleh.

Dalam pada itu, Say Chai berkata, skim pembiayaan deposit Rumah Pertama (MyDeposit) yang diumumkan semasa pembentangan Bajet 2016 telah dilaksanakan pada 6 April lalu, yang mana skim ini membantu kumpulan sasaran yang mempunyai pendapatan isi rumah RM10,000 dan ke bawah mendapat sumbangan 10 peratus daripada harga jualan ataupun maksima RM30,000 kepada pembeli rumah yang berharga RM500,000 ke bawah.

“Skim ini dijangka dapat membantu meringankan beban khususnya golongan yang baharu sahaja bekerja ataupun yang sudah berkahwin untuk memiliki rumah pertama,” katanya.

Beliau berkata, program skim deposit rumah pertama ini adalah di bawah kelolaan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Pemohon boleh membuat permohonan secara atas talian untuk skim ini di laman web Jabatan Perumahan Negara.

“Seperti yang semua sudah maklum, pelaksanaan inisiatif ini membabitkan usaha pelbagai pihak dari peringkat persekutuan, kerajaan negeri dan sektor swasta.

“Kerjasama seperti ini adalah satu usaha murni antara pihak awam dan swasta dalam menyediakan kediaman mampu milik kepada kumpulan pekerja syarikat serta rakyat Malaysia, amnya,” katanya.

Program berlangsung tiga hari ini bermula jam 10 pagi itu akan disertai 24 pemaju yang menawarkan hartanah perumahan dan komersial bernilai antara RM140,000 hingga RM2.6 juta seunit yang terdiri daripada rumah teres setingkat dan dua tingkat, rumah semi-D, kedai pejabat, pangsapuri, dan unit-unit komersial.

Mapex 2016 Pahang menyediakan landasan terbaik buat pembeli rumah dalam mencari informasi dan panduan untuk memiliki rumah impian sendiri.


0 comments:

share2