Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, May 2, 2016

[KARAK] USAHA TINGKAT EKONOMI KAUM INDIA


Usaha tingkat ekonomi kaum India


Meskipun wujud sejak lima tahun lalu, ramai yang tidak tahu mengenai profil Sekretariat Khas Untuk Memperkasakan Usahawan India (Seed).

Malah, ada yang menyangka ia NGO dan melihatnya sebagai satu unit di bawah parti politik kerajaan yang berteraskan kepentingan masyarakat India.

Sebenarnya, Seed bukan di bawah mana-mana parti politik sebaliknya ia dinaungi Jabatan Perdana Menteri dengan peruntukan awal ratusan juta ringgit.

Malah, lebih penting lagi Seed berjaya membantu 23,851 usahawan India dengan pinjaman berjumlah RM696 juta dalam tempoh singkat sejak ditubuhkan pada 2012.

Pengerusi MIC negeri, Senator Datuk R Goonasekaran berkata, Seed memberi bimbingan dan maklumat secara terperinci mengenai pinjaman dan bantuan kerajaan khususnya kepada usahawan India.

Menurutnya, kerajaan amat memahami bahawa pembangunan sosio ekonomi masyarakat India penting untuk menjadikan ekonomi negara lebih maju dan rakyat berpendapatan tinggi.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, meletakkan harapan tinggi kepada masyarakat India dan Seed bagi menakhodakan agenda pembangunan ekonomi kaum India di negara ini.

“Misi utama kami adalah untuk menentukan usahawan kaum India diwakili secara seimbang dalam pekerjaan berpendapatan tinggi dan penglibatan dalam sektor pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Taklimat Keusahawanan Seed di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Karak Setia, di sini kelmarin.

Pada majlis itu, beliau turut menyerahkan cek untuk kegunaan Program Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) yang dapat meningkatkan golongan usahawan dalam kalangan masyarakat India.


0 comments:

share2