Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, May 3, 2016

GAJAH BERKUBANG DALAM KOLAM IKAN


Gajah berkubang dalam kolam ikan


Chemor – Jika dua serangan gajah sebelum ini memusnahkan kebun pisangnya, serangan kali ini menyebabkan seorang petani kerugian lebih RM3,000 apabila ternakan ikan yang diusahakan di dua kolam mati.

Abdul Manan Wahab, 63, berkata, kolam yang menempatkan lebih 500 ikan tilapia miliknya mati selepas dipercayai sekumpulan gajah berkenaan ‘berkubang’ dalam kolam berkenaan, Jumaat lalu.

“Serangan pertama pada Februari lalu menyebabkan sebahagian pokok pisang yang diusahakan lebih 15 tahun lalu musnah dan serangan kali ketiga ini, haiwan liar berkenaan menjadikan kolam ikan ini pula sasaran berkubang.

“Ia berdasarkan kesan tapak kaki pada tebing kolam selain air kolam bertambah keruh serta kesan najis berhampiran,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Menurutnya, rakannya yang bekerja di ladang sawit berhampiran turut terserempak lima ekor gajah di kaki bukit tidak jauh dari kawasan tersebut.

“Gajah berkenaan perlu ditangkap segera kerana mengancam keselamatan penduduk yang bekerja setiap hari di kawasan kebun dan ladang di sini.

“Setiap hari, penduduk bimbang akan terserempak dengan haiwan liar terbabit tambahan kawasan kejadian tidaklah jauh daripada rumah penduduk,” katanya.

Abdul Manan berkata, dia mengharapkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) segera membendung masalah yang dihadapi penduduk.


0 comments:

share2