Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, May 3, 2016

[BENTONG] BANTUAN BERHARGA BOMBA SUKARELA


Bantuan berharga bomba sukarela


Kewujudan bomba sukarela terutama di kawasan kampung dan pekan kecil penting dalam membantu peranan pasukan bomba dan penyelamat dalam kesejahteraan nyawa dan harta benda.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, tanggungjawab itu perlu digalas bersama memandangkan tugasan anggota bomba bukan setakat memadamkan kebakaran.

Menurutnya, kewujudan bomba sukarela dapat memantapkan lagi operasi kebombaan selain berperanan memberikan bantuan segera dalam operasi menyelamat.

“Bomba sukarela berupaya menjadi pasukan terawal yang bertindak sekiranya berlaku tragedi dalam kawasan komuniti berkenaan.

“Peranan sukarelawan itu penting dalam membantu jabatan bomba memberikan respons segera selain memadam kebakaran," katanya pada majlis pelancaran van dan peralatan kepada Persatuan Bomba Sukarela Perting, di sini, kelmarin.

Turut hadir, Ketua Zon II Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Shahrin Yusmar; Ketua MCA Bahagian, Senator Datuk Hoh Khai Mun; dan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Karak, Suhairul Ibrahim.

Dalam pada itu, Tiong Lai berkata, peranan bomba akan diperkembangkan di tengah-tengah komuniti supaya kewujudannya dihargai seterusnya memberi manfaat dalam kemajuan setempat.

“Saya yakin mereka dapat melakukan tugas yang diamanahkan... ini gambaran struktur masyarakat itu sendiri kerana semua perkara sama ada di darat, laut dan udara akan dapat diuruskan dengan baik.

"Komuniti di sini akan sentiasa memberi sokongan penuh terhadap pasukan bomba sukarela ini, malah kita harap penyerahan peralatan dan van ini memberi motivasi kepada anggotanya dalam menjaga keselamatan nyawa serta harta benda penduduk,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Bomba Sukarela Perting, Lim Sang Hong berkata, sumbangan ini amat bermakna dalam membantu pasukan bomba sukarela dalam misi menyelamat dan memadamkan kebakaran.

"Sebelum ini, hanya empat anggota akan pergi ke lokasi kejadian terlebih dahulu kerana kami ada sebuah jentera sahaja. Tapi bila adanya van ini, lebih ramai anggota akan dapat ke lokasi kejadian secepat mungkin.

“Peralatan seperti kelengkapan penuh sut semasa kebakaran, alat membakar sarang lebah, mesin gergaji dan sebagainya akan memudahkan kerja kami dalam membantu masyarakat di sini,” katanya.


0 comments:

share2