Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, May 11, 2016

70 TAHUN UMNO MARTABATKAN ISLAM


Umno bendera


Hari ini genaplah 70 tahun Umno di persada politik tanah air. Sudah tentulah ulang tahun ke-70 ini tidak boleh disia-siakan hanya dengan sambutan bersifat ‘ceremonial’ dengan upacara potong kek mahupun pulut semangat tanpa arah tujuan.

Sebagai sebuah parti Melayu Islam tertua sudah tentulah angka 70 menggambarkan timbunan khazanah pengalaman yang dilalui oleh parti yang turut menerajui negara hampir 59 tahun. Segala pengalaman inilah perlu diambil ‘ibrah’ atau pengajaran oleh generasi pewaris perjuangan agar Umno terus kekal utuh dalam realiti semasa yang penuh mencabar.

Bukan itu sahaja, angka itu juga menzahirkan betapa Umno boleh dianggap parti yang cukup matang untuk terus menakhodai kepimpinan tanah air setelah melalui pelbagai onak duri, bahkan berjaya merintangi lautan ombak badai yang penuh gelora sepanjang sejarah perjuangannya.

Jika disingkap seketika tingkap sejarah, pada hari ini 70 tahun lalu Umno dilahirkan setelah berjaya menyatukan 41 pertubuhan-pertubuhan Melayu dengan matlamat yang sama untuk membantah Malayan Union yang digagaskan penjajah British bagi menghakis kedaulatan bangsa, agama dan tanah air.

Malah resolusi yang dicapai melalui Kongres Melayu Se-Malaya pertama hinggalah ketiga akhirnya telah secara rasmi menubuhkan Umno di tempat yang mulia iaitu Istana Besar Johor Bharu.

Dalam Perhimpunan Agung pertama Pertubuhan Melayu Kebangsaan Melayu Bersatu atau Pekembar (Umno) ini jugalah seluruh pertubuhan-pertubuhan Melayu bersepakat menerima perlembagaan Umno yang digubal melalui jawatankuasa khas yang terdiri daripada Datuk Onn Jaafar, Datuk Panglima Bukit Gantang, Datuk Nik Ahmad Kamil, Datuk Hamzah Abdullah dan Zainal Abidin Ahmad (Za’aba).

Hakikatnya perlembagaan Umno yang digubal pada 1946 ini jugalah menjadi asas dan panduan kepada pembentukan Perlembagaan Persekutuan yang digubal sebelum negara mengecap kemerdekaan pada 1957.

Antara asas penting perjuangan Umno sebagaimana dimaktubkan dalam Perlembagaan yang sering kali ditutupi faktanya oleh sesetengah pihak ialah betapa Umnolah parti yang pertama meletakkan Islam pada martabat tertinggi. Agenda Islam ini dizahirkan dalam Perlembagaan Umno Fasal 3.3 yang menyebutkan secara jelas bahawa asas dan matlamat perjuangan Umno antara lainnya adalah “Menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam, agama rasmi negara serta menghormati prinsip kebangsaan beragama”.

Sebab itulah sepanjang 59 tahun negara merdeka, Umno sebagai parti pemerintahlah yang menerajui dan mempelopori agenda membangunkan syiar dan memperkasakan syariat, sekali gus memartabatkan prinsip dan nilai-nilai Islam dalam kerajaan dan kepada rakyat.

Tidak sukar untuk mencari bukti keberkesanan program pemerkasaan Islam yang dijalankan Umno sepanjang menguasai kerajaan. Peningkatan kesedaran dan keinginan untuk hidup beragama berpandukan nilai-nilai Islam yang luhur dalam kalangan seluruh lapisan masyarakat juga merupakan suatu natijah yang nyata.

Sistem ekonomi Islam berasaskan syariah yang bebas daripada riba umpamanya, terus menjadi model negara-negara Islam mahupun bukan Islam seantero dunia. Malah mungkin ramai yang masih tidak menyedari bahawa Malaysia adalah satu-satunya negara di dunia hari ini yang mempunyai sistem dan infrastruktur kewangan Islam yang paling komprehensif bersifat menyeluruh.

Walau bagaimanapun, dewasa ini wujud kecenderungan segelintir pihak untuk memperlekeh dan menidakkan usaha-usaha Umno, khususnya yang berkaitan dengan agenda memartabatkan Islam. Apa sahaja program agama dan agenda Islam yang digagaskan mahupun yang telah dilaksanakan sering kali cuba diremeh dan diperkecilkan.

Sebenarnya kecenderungan meremehkan usaha dan tindakan orang lain, khususnya dalam upaya memartabatkan Islam bertitik-tolak daripada sikap sesetengah pihak yang merasai bahawa Islam hanya milik mereka. Mereka lebih kudus dan suci daripada orang lain. Justeru merekalah yang lebih berhak memperjuang dan melaksanakan Islam di bumi Malaysia ini.

Perasaan angkuh, bongkak dan takabbur inilah yang akhirnya membiakkan prasangka buruk hingga sanggup menafikan sumbangan orang lain. Golongan seperti ini seharusnya takut dengan amaran tegas ALLAH agar menjauhi tabiat sebegini sebagaimana firman-Nya dalam Surah An-Najm ayat 32: “Maka janganlah kamu mengatakan dirimu suci. Dialah (ALLAH) yang paling mengetahui tentang orang-orang yang bertaqwa”.

Justeru, Umno tidak perlu lagi mempedulikan apa orang kata. Yang penting pendukung perlu terus dipasakkan dengan kefahaman agar terus istiqamah memperkasakan Islam dalam agenda perjuangannya. Walau bagaimanapun, perjuangan Islam tidak akan sempurna jika amalan dan pegangan peribadi dikesampingkan.

Ini pastilah memerlukan pendukung-pendukung Umno kembali bermuhasabah dengan melakukan koreksi dan pembaikan dalam diri dan parti agar Umno bukan sahaja boleh mendabik dada memperjuangkan Islam tetapi benar-benar dilihat mengamalkan Islam dalam segenap segi.

* Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri

0 comments:

share2