Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, April 3, 2016

'SATU KELUARGA TAK KERUAN, JEP HILANG!'


Jep


Jep bukan anak kandungnya, namun Ummi tetap membelainya dengan penuh kasih sayang seperti dua anaknya yang lain.

Setiap hari diratap wajah Jep, dibelai dan diberikan penjagaan sempurna oleh Ummi dan suaminya, Mohd Kamarul Anuar, 33.

Sebenarnya Jep adalah seekor kucing yang menjadi viral sejak dua tahun lalu di laman Facebook 'Oh My Jep'.

Bagi peminat kucing, tidak lengkap kamus mereka sekiranya tidak mengenali Jep, kucing baka American Shorthair.

Ketika didekati, wanita yang lebih mesra dengan panggilan Ummi ini mudah mesra bagi berkongsi kisah Jep dan lima lagi kucing peliharaannya.

Menurut Ummi atau nama sebenarnya, Nor Azwana Awang, 30, kisah Jep mula mendapat perhatian selepas dia sering berkongsi gambar-gambar Jep beserta dengan kata-kata melibatkan isu semasa.

"Hanya kongsi dalam grup kawan-kawan dan peminat kucing. Dari situ Jep mula dikenali dan mereka sarankan saya buka fans page.

"Selepas itulah baru saya buka page Facebook, tak sangka mendapat perhatian begini," katanya ketika ditemui Karnival Usahawan Fius 2.0, Seksyen 7, Shah Alam, hari ini.

Sepanjang tiga tahun bersama Jep, beberapa kisah mengerikan buat ibu kepada dua anak itu ialah kehilangan Jep selama beberapa hari.

"Kami sekeluarga menjadi tidak keruan, merata mencarinya tidak jumpa.

"Sekali dia hilang hampir 500 meter dari rumah dan sekali lagi hilang dalam perkampungan orang asli sekitar rumah kami," katanya yang tinggal di Maran, Pahang.

Bercerita lanjut, Ummi berkata, dia bersyukur kerana suaminya turut berkongsi minat sama.

"Kami sama-sama ada minat sama, jadi lebih mudah apabila suami isteri berkongsi hobi," katanya.

Sementara itu, Penganjur Karnival Usahawan Fius 2.0, Hardiana Abd Jalil berkata, konsep karnival anjurannya adalah mengumpulkan usahawan-usahawan yang baharu mulakan perniagaan.

"Kami menyediakan tempat berniaga dengan harga yang murah kepada usahawan sosial ini.

"Kali ini karnival mendekatkan peniaga dengan Sunnah Rasulullah iaitu berniaga dan menjadikan kucing sebagai haiwan kesayangan," katanya.


0 comments:

share2