Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, April 27, 2016

PEMIMPIN PAS-UMNO PERLU TIMBANG SARANAN DR ZAKIR


Pemimpin Pas-Umno perlu timbang saranan Dr Zakir


Shah Alam - Semua barisan kepimpinan daripada Umno dan Pas perlu melihat kembali saranan pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik sebelum ini agar kedua-dua parti itu membentuk kerajaan campuran demi masa depan Islam.

Ketua Umno Bahagian Jerantut, Ahmad Nazlan Idris berkata, saranan itu bertujuan untuk mengajak orang Melayu khususnya berfikir berdasarkan pada kehendak agama iaitu meletakkan perpaduan sebagai keutamaan.

“Perbezaan pendapat tak apa, kita raikan tapi ia tidak sepatutnya melahirkan perpecahan dalam kalangan orang Melayu terutama dalam perkara-perkara yang menuntut kebersamaan kita. Demi pastikan Melayu-Islam itu terus dominan dalam negara kita sendiri. Kalau kita berpecah, ke mana lagi orang Melayu nak pergi?

“Jadi pendapat Dr Zakir itu boleh membuka mata kepada semua insan berjiwa Melayu untuk sama-sama memikirkan tanggungjawab kita tanpa mengira ideologi politik berbeza. Tapi kepentingan agama dan Melayu itu perlu diutamakan,” katanya kepada Sinar Online ketika kunjungannya ke Sinar Harian, di sini, semalam.

Dr Zakir sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan campuran Umno-Pas akan memberi banyak kebaikan kepada Malaysia dalam memacu negara ke hadapan serta mengukuhkan Islam namun katanya, beliau bukan mencadangkan dua parti politik Islam utama negara itu bergabung.

Dalam pada itu, Ahmad Nazlan yang juga Ahli Parlimen Jerantut berpendapat pandangan Dr Zakir itu akan memberikan sesuatu kekuatan kepada orang Melayu untuk melihat peranan masing-masing.

“Kalau kita bergabung barulah orang lain yakin bahawa orang Islam di Malaysia ini boleh jadi contoh. Kita bercakap tentang Islam tetapi kita berpecah seolah-olah tiada jalan penyelesaian.

“Namun bangsa lain contohnya masyarakat Cina, mereka berpecah kepada beberapa parti tapi mereka bersatu dalam bab memperjuangkan budaya Cina, bahasanya dan pendidikan Cina,” katanya.

Ketika ditanya pendiriannya sama ada menyokong kerjasama kedua parti itu, beliau hanya menjawab, orang Melayu hari ini tidak mempunyai pilihan.

Namun beliau tidak menolak kemungkinan ia berlaku sekiranya kedua-dua parti itu sanggup mengetepikan keegoan masing-masing demi bangsa dan negara.

“Tidak mudah berlaku tapi ada jalan sekiranya kita sanggup tepikan kepentingan-kepentingan itulah. Tak kiralah di pihak kerajaan atau pembangkang...kena duduk bersama.

“Saya harap ini dapat menyedarkan setiap pimpinan organisasi Melayu ini untuk melihat pandangan Dr Zakir Naik,” katanya.


0 comments:

share2