Taman Kasut yang dahulunya sunyi sepi dan hanya mempunyai sebuah replika kasut, kini berubah wajah selepas mendapat suntikan dana RM1.5 juta.
Exco Hal Ehwal Felda Pahang, Datuk Abu Bakar Harun berkata, dengan nama baharu yang lebih komersial, taman seluas 12 hektar di tengah gugusan Felda Chini itu dinaik taraf dengan pelbagai kemudahan riadah di samping kios makanan untuk usahawan tempatan.
Menurutnya, car boot sales setiap Sabtu bermula jam 6 petang di taman berkenaan antara usaha menggalak dan mempertingkatkan ekonomi setempat terutama usahawan generasi kedua Felda.
“Sejak 30 tahun lalu, taman ini yang dulu dikenali sebagai Taman Kasut kurang dikunjungi tetapi sekarang meriah dengan aktiviti riadah bersama keluarga dan rakan pada setiap petang.
“Secara tidak langsung mewujudkan urusan jual beli di antara warga Felda itu sendiri khusunya di gugusan Chini.
“Kita juga menerima peruntukkan RM3.9 juta untuk menaiktaraf kemudahan di Bandar Chini yang akan merancakkan sosio ekonomi di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan pembukaan taman tersebut, di sini semalam.
Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Daerah Pekan, Datuk Ahmad Salhi Abdul Latiff.
Abu Bakar berkata, Taman Rakyat merupakan sebahagian usaha kerajaan meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan rakyat di enam daerah yang dulu ditadbir Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara (Dara) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka (LKWJ) iaitu Jerantut, Maran, pekan, Rompin, Bera dan Temerloh.
Menurutnya, kerajaan melalui Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) memperuntukkan RM50 juta setahun bagi membangunkan kawasan terbabit.
Sehingga kini, RM350 juta dibelanjakan bagi pelbagai projek untuk dimanfaatkan kira-kira 720,000 penduduk.

0 comments:
Post a Comment