Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, April 5, 2016

PARAS AIR TURUN TIGA PERATUS


Paras air turun tiga peratus


Ayer Keroh - Empangan Durian Tunggal di Alor Gajah masih berada di paras amaran apabila kapasiti air di situ mencatat penurunan tiga peratus.

Jika Jumaat lalu, ia mencatat paras 60 peratus, namun semalam terus berkurangan kepada 58 peratus.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, sekiranya situasi penurunan paras air empangan terbabit berterusan dalam tempoh sebulan, kemungkinan catuan air dilakukan di negeri ini selain kaedah pembenihan awan.

Menurutnya, biarpun berlaku hujan di beberapa tempat di negeri ini, namun hujan masih tidak tertumpu di kawasan diperlukan bagi pertambahan ketinggian air seperti di Empangan Durian Tunggal.

Beliau bagaimanapun berkata, keadaan kritikal tidak akan berlaku dalam masa terdekat ini kerana paras air di dua buah empangan lain iaitu Empangan Jus di Selandar mencatatkan 77 peratus, manakala Empangan Asahan, Jasin berada pada tahap 89 peratus, jauh dari paras amaran.

“Maklumat daripada pihak Badan Kawalan Selia Air mengatakan mungkin jika dalam tempoh 14 hari tidak berlaku hujan seperti yang kita harapkan, kita akan menggunakan kaedah pembenihan awan supaya hujan boleh berlaku di kawasan yang kita harapkan.

“Bagaimanapun, situasi itu tetap tidak menjejaskan bekalan air di negeri ini. Setakat ini, kita cuma bersedia untuk melakukan itu jika ia perlu sekiranya tidak berlaku hujan dalam tempoh seminggu dua ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Pentadbiran Kerajaan Negeri di Dewan Seri Negeri, di sini, semalam.

Perhimpunan kali ini dihoskan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Melaka.

Hadir sama, Speaker Dun Melaka, Datuk Othman Muhammad dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Naim Abu Bakar.

Sementara itu, Idris meminta rakyat di negeri ini supaya menggunakan air secara berhemah bagi memastikan ia terus cukup untuk digunakan, sekali gus menghindari berlakunya catuan air.

"Nasihat saya kepada rakyat negeri ini dalam suasana tidak menentu ini, kita perlu amalkan tabiat positif iaitu kalau untuk siraman atau kegunaan luar, kita cuba cari jalan untuk tak guna air dalam keadaan terhad kerana ia akan menyumbang kepada penambahan catuan air,” katanya.

Jumaat lalu, Sinar Harian turut melaporkan mengenai Empangan Durian Tunggal yang menjadi nadi bekalan air di negeri ini berada pada tahap 60 peratus, sekali gus mencecah paras amaran.


0 comments:

share2