Setiu - Barisan Kelab Peyokong Kerajaan Terengganu sebulat suara menolak desakan sesetengah pihak yang mahu Dun dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Setiausahanya, Mohd Iskandar Jaafar berkata, anggota kelab daripada kalangan Adun BN menyifatkan ia bukan cara terbaik untuk menyelesaikan kemelut politik dalaman negeri itu.
"Ini kerana kita baru berada pada pertengahan penggal selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 dan pada dasar kesemua wakil rakyat sedang melaksanakan tugas dengan baik," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, semalam.
Mohd Iskandar yang juga Adun Jabi berkata, PRN juga tidak perlu diadakan kerana ia bukan satu keperluan yang mendesak malah tidak berlaku sebarang masalah besar hingga ia perlu diadakan.
Menurutnya, jika PRN diadakan, ia akan melibatkan perbelanjaan yang tinggi di mana wang tersebut boleh disalurkan untuk menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat.
"Sepatutnya kita tunggulah sehingga PRU akan datang dan beri peluang kepada wakil-wakil rakyat berkhidmat kepada rakyat di kawasan masing-masing," katanya.
Kemelut politik dalam Umno Terengganu bermula apabila bekas Menteri Besar, yang juga Adun Kijal, Datuk Seri Ahmad Said, mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman di persidangan Dun Terengganu, baru-baru ini.
Usul itu bagaimanapun, ditolak oleh Speaker Datuk Mohd Zuber Embong, atas alasan usul yang dikemukakan oleh Adun Kijal itu tidak mengikut peraturan ketika mencadangkannya.
0 comments:
Post a Comment