Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, April 2, 2016

KEHADIRAN IKAN LUMBA-LUMBA JADI TARIKAN


Kehadiran ikan lumba-lumba jadi tarikan


Port Dickson - Port Dickson selain kaya dengan khazanah laut seperti batu karang, ikan marin dan ikan hiasan marin termasuk penyu karah namun ia juga merupakan habitat bagi ikan lumba-lumba.

Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Zainudin Abd Wahab berkata, mungkin ramai yang tidak tahu tentang ikan lumba-lumba tersebut, namun sebenarnya kehadiran ikan itu di perairan Port Dickson memang ada sejak dahulu lagi.

Menurutnya, walau bagaimanapun, ia mula disedari umum sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan ia merupakan satu lagi tarikan pelancong di negeri ini amnya dan Port Dickson khususnya.

“Perairan Port Dickson sangat sesuai dengan haiwan mamalia berkenaan kerana perairan kita bebas daripada aktiviti nelayan pukat tunda dan jerut.

“Nelayan kita hanya guna pukat hanyut, jadi ia bukan ancaman kepada haiwan itu. Malah sumber makanan kepada ikan lumba-lumba ini juga banyak di perairan ini.

“Nelayan di sini juga saya yakin sudah kerap terserempak dengan ikan lumba-lumba ini ketika mereka berada di laut,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Zainudin berkata, walau bagaimanapun, pihaknya masih dalam proses penyelidikan untuk mengenal pasti spesies ikan lumba-lumba yang berada di perairan ini.

“Orang ramai dinasihatkan untuk bersama-sama menjaga dan memulihara kewujudan ikan lumba-lumba di kawasan ini.

“Sebarang aktiviti penangkapan, pembunuhan dan sebagainya adalah dilarang termasuklah memiliki dan penjualan juga tidak dibenarkan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga akan menjalankan kerjasama dengan agensi lain antaranya Tourism Malaysia dan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dan Unit Pembangunan Ekonomi Negeri (Upen) untuk mencari kaedah terbaik mengangkat ikan lumba-lumba ini sebagai satu lagi tarikan pelancongan di negeri ini dan dalam masa sama memelihara habitat semula jadi haiwan ini.

Sinar Harian difahamkan, ikan lumba-lumba adalah spesies yang dilindungi di bawah Akta Perikanan 1985 yang dengan keras melarang sebarang penangkapan, pembunuhan, pemilikan dan penjualan tanpa kebenaran Jabatan Perikanan.


0 comments:

share2