Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, April 19, 2016

24 JENTERA, BALAK BERNILAI RM3.5 JUTA DIRAMPAS


BALAK


Setiu - Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu berjaya merampas sebanyak 24 jentera dan kayu balak bernilai RM3.5 juta sepanjang Januari hingga April tahun ini.

Pengarah Perhutanan Negeri, Datuk Azmi Nordin berkata dalam tempoh itu juga pihaknya turut menahan seramai 15 suspek atas pelbagai kesalahan.

"Untuk tahun ini kita rampas 24 jentera dengan nilai kira-kira RM3 juta dan kayu balak kira-kira RM500,000 di kawasan yang menjadi tumpuan pembalak haram iaitu Hulu Besut dan Hulu Dungun.

"Manakala pada tahun lepas, kita merampas sebanyak 14 jentera dengan nilai rampasan sebanyak RM1.5 juta dan 56 orang suspek telah ditahan," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Terengganu yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Mohd Jidin Shafee.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Perhutanan Bahagian Dasar dan Pembangunan, Datuk Nor Akhirrudin Mahmud dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF)-Malaysia, Datuk Dr Dionysius S.K. Sharma. 

Mengulas lanjut Azmi berkata, pihaknya mengucapkan penghargaan kepada orang awam yang memberi maklumat mengenai kegiatan pembalakan haram di negeri ini.

"Meskipun Jabatan Perhutanan menghadapi kekangan dari segi kakitangan dan kenderaan, kerjasama dan maklumat yang diberikan orang awam banyak membantu pihaknya menumpaskan sindiket pembalakan haram.

"Selain itu kita juga turut mengaplikasikan teknologi imej satelit serta pemantauan dari udara menggunakan helikopter secara berkala bagi tujuan penguatkuasaan dan pemantauan," katanya.

Sementara itu, Mohd Jidin berkata kerajaan negeri juga bersetuju membantu jabatan tersebut untuk membeli pesawat tanpa pemandu (UAC) atau 'drone' bagi membantu melicinkan operasi jabatan tersebut.

Sambutan Hari Hutan tersebut disertai lebih 300 pelajar dan kakitangan kerajaan daripada pelbagai jabatan yang melakukan pelbagai aktiviti termasuk menanam pokok rhu, melepaskan tuntung dan gotong royong di sekitar kawasan Tanah Bencah, Setiu.


0 comments:

share2