Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, March 27, 2016

[TEMERLOH] SUSPEK UTAMA BERJAYA DICEKUP

Suspek utama berjaya dicekup



Polis berjaya menyelesaikan kes rompakan bersenjata di hadapan Ambank Temerloh pada 25 Januari lalu dengan tertangkapnya seorang lagi lelaki yang dipercayai suspek utama, 17 Mac lalu.

Penahanan suspek yang berusia 39 tahun itu menjadikan tiga suspek telah ditahan termasuk dua yang sedang dibicarakan kerana terlibat dalam rompakan bersenjata yang mencederakan seorang lelaki itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, suspek yang berasal dari Kelantan itu ditahan di sebuah rumah di Rantau Panjang, Kelantan.

Menurutnya, penahanan suspek dibuat selepas polis melakukan risikan dan hasil maklumat daripada orang awam.

“Semasa serbuan dilakukan, berlaku sedikit pergelutan dan suspek bertindak terjun dari rumah berkenaan, menyebabkan dia cedera di bahagian kaki.

“Suspek ditahan reman sehingga 24 Mac lalu dan disambung reman lagi sehingga 29 Mac ini bagi bantu siasatan,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Raja Shahrom berkata, suspek ditahan di bawah Seksyen 3A Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan siasatan masih giat dijalankan.

Katanya, pada masa ini polis masih sedang mengesan senjata api yang digunakan suspek dalam kejadian rompakan berkenaan.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret Temerloh kelmarin, Majistret Najwa Hashim menetapkan kes terhadap dua lagi tertuduh kes rompakan itu, Shaizul Aziram Shamsuddin dan Badrul Isham Azmi disebut semula pada 21 April ini.

Najwa menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Mustafa memaklumkan bahawa beliau masih menunggu laporan berkaitan kes itu untuk dikemukakan ke mahkamah.

Shaizul Aziram, 40, dan Badrul Isham, 34, bersama seorang lagi yang masih ditahan reman didakwa melakukan rompakan bersenjata di hadapan Ambank, Jalan Ahmad Shah di sini, pada kira-kira jam 11.20 malam, 25 Januari lalu.

Mereka membawa atau ada dalam milikan atau di bawah kawalan senjata api dan telah melepaskan tembakan sehingga menyebabkan kecederaan kepada Mohd Haikal Rosli, 30.

Pertuduhan terhadap kedua-dua lelaki yang dibawa ke mahkamah kali pertama pada 29 Januari lalu itu dikemukakan mengikut Seksyen 3A Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding kali ini, peguam Datuk Ng See Tong mewakili kedua-dua tertuduh.




0 comments:

share2