Gelombang haba yang melanda negara ketika ini bukan sahaja meresahkan orang ramai, malah turut menyebabkan 27 gajah di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Kuala Gandah di sini, dalam keadaan tidak selesa.
Ketua unit gajah pusat itu, Nasaruddin Othman berkata sejak cuaca panas lebih sebulan lalu, haiwan berkenaan dimandikan 10 kali sehari berbanding empat hingga lima kali sebelum ini.
"Nasib baik kami menggunakan air terjun berhampiran sebagai sumber air mandi dan minum gajah-gajah ini. Jika tidak, bil air sudah pasti naik mendadak," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Nasaruddin berkata lebih 70 pekerja bertugas mengawasi haiwan berkenaan setiap hari dan jika mempunyai masa, gajah yang dilihat terlalu tertekan dengan keadaan cuaca itu akan dibawa berendam di sungai kecil di pusat konservasi itu.
"Jika mahu dibawa semua, ia agak sukar kerana haiwan ini turut mempunyai pelbagai ragam selain perlu dikawal. Sampai di sungai gajah yang berkenaan akan dibenarkan bermain air, berendam dan minum," katanya.
Nasarudin berkata dalam keadaan cuaca panas yang melampau ketika ini, kakitangan pusat itu juga sentiasa memantau dan memastikan kesihatan gajah tidak terjejas.
Ia termasuk memastikan kawasan rehat haiwan itu dalam keadaan teduh dan mempunyai bekalan air yang mencukupi.
"Gajah memang memerlukan air yang banyak dalam sehari. Jadi kami menggunakan sistem di mana air di takungan akan diisi secara automatik apabila air di dalamnya hampir habis," katanya.
Pada masa sama, katanya hanya gajah yang benar-benar sihat sahaja akan dikeluarkan untuk melakukan aktiviti bersama pengunjung.
"Penilaian sikap gajah penting untuk memastikan ia sihat, sekali gus mengelakkannya melakukan perkara di luar jangkaan. Ini adalah untuk keselamatan gajah itu sendiri dan juga pengunjung.
"Gajah yang hendak dibawa menyertai aktiviti juga akan dimandikan terlebih dahulu agar ia lebih selesa. Jika ia masih tidak selesa atau membuat perangai, gajah itu akan direhatkan dan digantikan dengan yang lain," katanya.
Temerloh merupakan satu daripada enam kawasan di seluruh negara yang mencapai atau melebihi paras ambang gelombang haba, iaitu 36 darjah celcius berbanding paras suhu normal antara 32 dan 33 darjah celcius.
Lima kawasan lain ialah Chuping, Perlis; Alor Setar, Kedah; Lubuk Merbau dan Ipoh, Perak serta Batu Embung di Pahang.
0 comments:
Post a Comment