Sabak Bernam - Tindakan penduduk membakar sampah terutama dalam keadaan cuaca panas mengundang padah apabila api sampah itu merebak hingga mengakibatkan belukar di Tali Air 10 Pasir Panjang, di sini, terbakar, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.15 petang itu, belukar seluas 0.2 hektar terbakar selepas api marak di kawasan pembakaran sampah berhampiran.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sekinchan, Mohd Khairul Anuar Abu Bakar berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan tentang kejadian itu dan tiba sembilan minit kemudian di lokasi kejadian.
“Operasi memadam kebakaran diketuai Pegawai Operasi, Mohammmad Ishak bersama lima anggotanya dengan bantuan satu jentera dikejarkan ke lokasi kebakaran,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, api sedang marak di kawasan belukar terbabit akibat tiupan angin kuat dan cuaca panas di kawasan berkenaan.
Jelasnya, selain faktor tiupan angin, terdapat longgokan fiber sisa membuat pondok telefon yang dibuang di situ turut terbakar berhampiran sebuah bangsal menyebabkan api semakin marak.
Bagaimanapun, katanya, pasukannya berjaya mengawal api daripada merebak ke rumah penduduk berhampiran tempat kejadian.
“Bomba mengambil masa kira-kira 33 minit bagi memadamkan sepenuhnya kebakaran itu,” katanya.
Beliau memberitahu, punca kebakaran dipercayai daripada pembakaran sampah terbuka.
Pihaknya menasihatkan orang awam agar tidak melakukan pembakaran sampah tanpa pengawasan dan melakukan sebarang aktiviti pembakaran terbuka ketika ini berikutan faktor cuaca panas yang melanda seluruh negara.
0 comments:
Post a Comment