
Gua Musang - Kelmarin, barisan kabinet Kerajaan Malaysia sebulat suara memutuskan untuk melucutkan jawatan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Penasihat Petroliam Nasional (Petronas).
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) menolak dakwaan mengatakan beliau antara calon untuk dilantik memegang jawatan tersebut selepas Dr Mahathir dan menyatakan lebih selesa dalam keadaan sekarang.
"Tak usahlah lantik saya kerana hati saya lebih senang dalam keadaan begini (tanpa jawatan)," komen ringkas Ku Li kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi, dekat sini, semalam.
Hadir sama, Pengarah Pendidikan Negeri Kelantan, Datuk Ab Aziz Abdullah, Adun Galas, Ab Aziz Yusof dan Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Saiful Bahri Abdullah.
Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan satu kenyataan yang menyatakan kabinet berpendapat Dr Mahathir sewajarnya tidak lagi memegang sebarang jawatan yang mempunyai kaitan dengan kerajaan kerana beliau tidak lagi didukung kerajaan sedia ada.
Ketika diminta pendapatnya mengenai perlucutan jawatan Dr Mahathir, Ku Li yang juga bekas Pengasas Petronas berkata, perkara itu bukan isu baharu.
Menurutnya, sebelum ini Dr Mahathir pernah menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Penasihat Petronas kepada kerajaan tetapi ditolak dan bekas perdana menteri itu diminta terus menerajuinya.
"Saya diberitahu bahawa, sebelum Kabinet meluluskan pelucutan jawatan itu, Dr Mahathir lebih awal menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai Penasihat Petronas. Lagipun tiada peruntukan menyatakan Penasihat Petronas boleh dilantik dalam kalangan bekas pemimpin kerajaan seperti Dr Mahathir.
"Berdasarkan Akta Kemajuan Petroliam, ahli Majlis Penasihat Petroliam perlu dilantik dari kalangan pegawai kanan kerajaan, pakar-pakar minyak, wakil negeri pengeluar minyak dan penasihat kerajaan menengai minyak dan lombong," katanya.

0 comments:
Post a Comment