Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, March 9, 2016

SEMARAKKAN BUDAYA 3M AL-QURAN


Dr Asyraf Wajdi Dusuki


Baru-baru ini heboh diperkatakan berkenaan kempen Let’s Read The Quran (LRTQ) yang dianjurkan oleh sekumpulan individu. Dalam artikel rasmi yang ditulis di blog mereka, kempen ini antara lainnya bertujuan menggalakkan orang ramai untuk membaca al-Quran dalam bahasa yang difahami.

Secara zahirnya, kempen yang mengajak masyarakat membaca al-Quran dalam bahasa masing-masing agar lebih mudah untuk memahami al-Quran, tampak seperti tiada apa cacat celanya. Namun, jika diperhalusi semacam ada yang tidak kena dengan kempen ini seolah-olah tidak menitik-beratkan soal membaca al-Quran dalam bahasa asalnya iaitu bahasa Arab.

Bukanlah niat penulis untuk mempersoalkan nawaitu penganjur. Cuma adalah lebih baik menyemarakkan kempen berkaitan al-Quran yang bersifat holistik dan menyeluruh. Sebelum penulis menghuraikan maksud holistik ini, adalah lebih baik kita memahami konteks al-Quran yang sebenar.

Al-Quran dari segi bahasa bermaksud apa yang dibaca, sesuai dengan sifat al-Quran itu yang sentiasa dibaca dan diulang bacaannya dalam bahasa Arab oleh umat Islam. Dari segi istilah pula, “al-Quran” bermaksud kitab ALLAH yang diturunkan dalam bahasa Arab kepada Nabi Muhammad SAW yang berbangsa Arab, dan bukanlah semata-mata tafsir atau terjemahan al-Quran, sama ada dalam bahasa Arab atau bahasa-bahasa lain.

Membaca al-Quran dalam bahasa Arab merupakan satu tuntutan agama. Dalam al-Quran, ALLAH jelas menyatakan bahawa Dia menurunkan al-Quran itu dalam bahasa Arab, sebagaimana firman-Nya dalam Surah Yusuf, ayat 2: “Sesungguhnya Kami menurunkan kitab itu sebagai Quran yang dibaca dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal untuk) memahaminya”.

Membaca al-Quran walaupun tidak memahami maknanya sudah dikira sebagai ibadah, bahkan mendapat banyak pahala dan keberkatan daripada ALLAH, bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang membaca satu huruf dari Kitab ALLAH (al-Quran), maka dia mendapat satu pahala, dan satu pahala itu digandakan sepuluh, aku tidak mengatakan Alif Lam Mim itu satu huruf, tetapi Alif itu satu huruf, Mim itu satu huruf dan Lam itu satu huruf”. Hadith sahih riwayatat at-Tirmizi.

Malah mereka yang membaca al-Quran dalam bahasa Arab itu dengan tersekat-sekat kerana tidak fasih membacanya akan mendapat dua pahala, sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Orang yang mahir membaca al-Quran adalah bersama dengan para malaikat yang mulia (di akhirat nanti), dan orang yang membaca al-Quran dalam keadaan tersekat-sekat dan payah untuk dia membacanya, maka dia mendapat dua pahala (pahala membaca al-Quran dan pahala bersungguh-sungguh belajar membaca al-Quran)”. Hadith sahih riwayat at-Tirmizi.

Hakikatnya, masih ramai umat Islam di Malaysia yang tidak mampu membaca al-Quran dengan lancar. Ia juga terkait dengan sikap keculasan kita dalam membudayakan pembacaan al-Quran secara konsisten. Mungkin juga ramai tidak menyedari kelebihan barakah dan rahmat ALLAH dengan ganjaran pahala berganda bagi setiap yang membaca al-Quran walau sepotong ayat dalam bahasa Arab.

Namun, ini tidaklah bermakna bahawa al-Quran tidak boleh difahami dan dipelajari dalam bahasa lain. Firman ALLAH dalam Surah Ash-Shura, ayat 7 yang bermaksud; “Dan sebagaimana Kami tetapkan engkau hanya penyampai, Kami wahyukan kepadamu al-Quran dalam bahasa Arab, supaya engkau memberi peringatan dan amaran kepada (penduduk) “Ummul-Qura” dan sekalian penduduk dunia di sekelilingnya, serta memberi peringatan dan amaran mengenai hari perhimpunan (hari kiamat) - yang tidak ada syak tentang masa datangnya; (pada hari itu) sepuak masuk Syurga dan sepuak lagi masuk neraka”.

Sebab itulah penulis lebih cenderung untuk menyarankan dan menyemarakkan kempen membudayakan 3M Al-Quran, iaitu Membaca, Memahami dan Menghayati. Membaca al-Quran dalam bahasa asal yang diturunkan ALLAH iaitu dalam bahasa Arab untuk mendapatkan keberkatan mukjizat al-Quran itu sendiri.

Kemudian, disarankan juga untuk memahami dengan membaca terjemahan mengikut bahasa ibunda masing-masing dan mendapatkan pencerahan ilmu daripada pihak berautoriti dalam pengajian al-Quran. Ini memerlukan setiap individu cuba untuk membaca terjemahan dalam bahasa masing-masing dan menyertai majlis-majlis ilmu dalam upaya untuk memahami al-Quran dengan suluhan ilmu yang benar.

Setelah kita membaca dan memahami, maka harus pula disusuli dengan proses menghayati al-Quran dengan kefahaman yang benar supaya setiap inti pati al-Quran diamalkan dan diterjemahkan dalam perbuatan kita seharian.

Apa yang penting akhirnya sebagai orang Islam, bukan setakat baca dan memahami al-Quran tetapi menterjemahkan segala yang dibaca dan difahami daripada inti pati al-Quran untuk diamalkan dalam kehidupan.



* Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)


0 comments:

share2