Georgetown - Gerakan Pulau Pinang hari ini mencadangkan agar harga RM276 untuk satu kaki persegi rumah yang dibeli oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng dijadikan sebagai harga pengukur untuk semua rumah mampu milik di negeri ini.
Cadangan itu dibuat oleh Ketua Biro Pengaduan Awam Pemuda Gerakan negeri, Jason Loo memandangkan Guan Eng dikatakan membeli banglo di Jalan Pinhorn itu dengan harga RM276 sekaki persegi sedangkan kebanyakan rumah mampu milik di negeri ini kini dijual dengan harga RM600 sekaki persegi.
Beliau berkata, Guan Eng membeli sebuah banglo dengan keluasan 10,161 kaki persegi di Jalan Pinhorn di sini tahun lepas dengan harga RM2.8 juta yang jika dibahagikan akan menjadi RM276 sekaki persegi.
"Mengapa Guan Eng mempunyai keistimewaan untuk membeli rumah banglo dengan nilai hanya RM276 sekaki persegi di sebuah kawasan yang eksklusif dan rakyat Pulau Pinang perlu membayar dengan nilai yang lebih tinggi untuk memiliki rumah pangsa atau apartmen.
"Saya mahu kerajaan negeri memberikan pertimbangan yang serius kepada cadangan ini yang mampu membantu penduduk Pulau Pinang memiliki rumah sendiri," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Jason berkata, rumah mampu milik di negeri ini bernilai RM400,000 ke atas tetapi jika mengikut pengiraan RM276 sekaki persegi, kesemua rumah mampu milik itu bernilai tidak lebih RM300,000 seunit.
"Banyak harga projek rumah mampu milik seperti Quay West di Bayan Mutiara, 98 Nibong Residence di Sungai Nibong dan Tri-Pinnacle di Mount Erskine telah melebihi RM600 sekaki persegi dengan harga masing-masing melebih RM400,000 seunit," katanya.
Jason menegaskan kerajaan negeri khususnya Exco Perancangan Bandar, Desa dan Perumahan negeri Jagdeep Singh Deo patut membuat pertimbangan semula nilai harga rumah mampu milik di negeri ini.
Beliau berkata, masalah kegagalan pembeli untuk mendapatkan pinjaman bank yang disebabkan harga rumah mampu milik mahal juga akan dapat diselesaikan jika kerajaan negeri mengikut ukuran harga RM276 sekaki persegi.
"Saya yakin ramai penduduk negeri ini akan menyambut baik cadangan ini sekiranya kerajaan negeri dapat meluluskannya," katanya.
Isu pembelian banglo oleh Guan Eng bermula apabila ia dibangkitkan di Dewan Rakyat oleh Anggota Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya, Khamis lepas yang meminta Jabatan Penilaian dan Pembangunan Harta membuat penilaian berhubung hartanah berharga RM2.8 juta itu, sedangkan nilai semasa rumah itu lebih RM3 juta.
0 comments:
Post a Comment