
Pada penghujung 2015, Jakim mengadakan sidang panel pakar syariah untuk membincang pelbagai isu yang menyentuh kepentingan umat Islam. Antara isu yang dibincang ialah mengenai pesta tanglung.
Penulis dijemput untuk membentang pandangan. Oleh kerana tidak dapat hadir, saudara Abdul Naser kolumnis Sinar Harian telah membentang bagi pihak penulis yang ada menulis tentang isu berkenaan yang sebahagiannya pernah disiar dalam Sinar Harian.
Bukan sahaja penulis tetapi bekas timbalan presiden Persatuan Cina Muslim atau Macma, Dr Fuad Yeoh, yang memiliki PhD dalam pengajian Islam, berpandangan bahawa pesta tanglung adalah aktiviti budaya yang tiada mengandungi unsur menyalahi akidah.
Dr Fuad maklum pada penulis tentang pandangan ini dan berkata ia juga pendirian Macma selama ini.
Dalam surat kepada presiden Macma sekarang, Profesor Taufik Yap, Jakim menyatakan panel pakar syariah berpandangan bahawa pesta tanglung adalah harus iaitu ia sesuatu yang boleh diamalkan tetapi dengan syarat jangan disertakan perkara yang menyalahi akidah seperti ritual agama.
Terima kasih diucapkan kepada Jakim dan mereka yang terlibat dengan perbincangan tersebut kerana bersetuju dengan pandangan Muslim Tionghoa bahawa pesta tanglung sesuatu yang boleh diraikan.
Sesungguhnya pesta tanglung serta aktiviti Tionghoa yang lain seperti Tahun Baharu Cina, pesta kuih bulan, pesta ‘chang’ atau ketupat Cina dan tang yuan atau memakan bubur gula sebagai menandakan penutup tahun Cina adalah sebati dengan kehidupan Cina. Tanpa aktiviti ini, Muslim Tionghoa tentunya terasa janggal dan sunyi bahawa identiti Islam mereka tiada kaitan dengan budaya hidup Cina.
Baru-baru ini, saudara Naser ada menulis tentang bagaimana Jabatan Agama Islam Perak begitu menyokong usaha Macma Ipoh untuk mengada serta menjayakan program yang menampilkan budaya hidup Cina sebagai budaya hidup Islam. Malah, aktiviti Macma Ipoh di bawah pimpinan Datuk Fadzli Cheah dan Hafiz Ng sering kali mendapat liputan media termasuk daripada yang berbahasa Cina.
Penulis sendiri pernah menjadi panel forum dialog harmoni antara agama yang pertama yang dianjurkan oleh TV Al Hijrah beberapa tahun yang lepas di Ipoh yang melibatkan Jaip, Macma Ipoh dan Soka Gakkai Ipoh.
Bukan sahaja Macma Ipoh, tetapi Macma di tempat lain seperti Negeri Sembilan, Terengganu, Johor, Selangor dan Melaka juga aktif menjayakan program untuk menampilkan kehidupan Cina sebagai kehidupan Islam, di samping menjadi jambatan penghubung antara yang Islam dan bukan Islam termasuk dari luar negara.
Macma Terengganu yang dipimpin oleh Datin Norhana Ng banyak menganjurkan aktiviti harmoni antara agama seperti Mosque Tour Guide untuk pelawat luar negara di Masjid Kristal, ‘program building bridge’ bersama penganut agama lain, kursus pencerahan minda untuk penuntut universiti di UniSZA dan UMT serta kelas bimbingan untuk yang ingin dan yang telah memilih Islam sebagai jalan hidup baharu mereka.
Macma Negeri Sembilan di bawah kendalian Sufian Yap mempunyai kerjasama yang baik dengan Jains dan kedua pihak saling sokong menyokong dan bantu-membantu untuk menonjolkan Masjid Cina di Seremban sebagai pusat aktiviti harmoni antara kaum dan harmoni antara agama.
Macma Pusat juga banyak memainkan peranan untuk menonjolkan komuniti Cina Muslim sebagai sebuah komuniti Islam yang tidak terpisah dari akar umbi kaum, moyang dan adat budaya mereka.
Profesor Taufik Yap umpamanya berusaha keras untuk mengikis persepsi bahawa menjadi Islam bererti meninggalkan kehidupan Cina melalui penyertaan beliau dalam forum, ceramah di masjid dan surau, serta Radio IKIMfm.
Penghargaan kepada Jakim dan jabatan agama negeri kerana langkah yang diambil untuk memahami bagaimana kehidupan Cina boleh menjadi kehidupan Islam lebih-lebih lagi dengan bertambahnya angka Muslim Tionghoa di negara ini.
Tidak terlupa juga untuk mengucapkan terima kasih kepada Sinar Harian kerana memberi ruang kepada penulis dan Muslim Tionghoa lain seperti Naser dan Johari Yap untuk berkongsi pandangan kami tentang Islam dalam kehidupan Cina dan sumbangannya kepada harmoni antara kaum dan agama.
* Penulis bekas pensyarah Usuluddin dan Perbandingan Agama di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

0 comments:
Post a Comment