Buah durian belanda mendapat jolokan ‘buah ajaib’ dan menerima perhatian selepas menjadi viral, kerana dikatakan mempunyai sel penyembuh lebih baik berbanding kemoterapi bagi pelbagai jenis sel kanser termasuk payudara, kolon dan paru-paru.
Kerana itulah, pesara guru besar, Mamat Jusoh mengambil keputusan memulakan aktiviti menanam pokok durian belanda sejak tahun lalu kerana percaya buah ini mempunyai khasiat dan mempunyai agen anti-kanser yang tinggi.
“Ia adalah buah-buahan tempatan, tiada pengawet, racun berbahaya malah enak dimakan. Setiap kejadian Tuhan ada peranan, saya yakin durian belanda mampu memberi kebaikan dari segi kesihatan,” katanya.
Malah Mamat mengakui, dia tertarik menanamnya kerana buah itu jarang dipromosikan sepertimana di luar negara.
Projek perintis
Mamat berkata, minatnya terhadap bidang pertanian membawanya kepada projek perintis penanaman pokok durian belanda seluas 0.8 hektar dekat Kampung Bakat.
Selain durian belanda, dia turut menanam pokok durian musang king dan durian kunyit.
Setakat ini katanya, dia mempunyai 210 pokok durian, yang mana 180 daripadanya merupakan durian belanda.
“Walaupun kurang dua tahun menanam pokok ini, sebahagiannya sudah berbuah dan mengeluarkan hasil.
“Kesemua anak pokok ini saya beli dari Rantau Panjang, tapi tapak semaian dari Johor Bahru,” katanya.
Mamat berkata, tanah bukit di kebunnya menjadikannya sesuai untuk penanaman pokok durian.
Katanya, pada dua tahun pertama pertumbuhan pokok durian adalah peringkat paling mencabar.
Menurutnya, ia memerlukan baja mencukupi, air tidak berlebihan, sumber matahari yang banyak, kawalan penyakit dan elak serangan serangga perosak.
“Memandangkan saya memelihara kuda, najis kuda sangat baik dijadikan baja organik.
“Memadai dua hingga tiga bulan sekali pembajaan, elak menabur baja menjelang musim hujan atau tengkujuh kerana ia mungkin menyebabkan akarnya rosak dan mati,” katanya.
Selain itu Mamat berkata, setiap pokok perlu ditanam pada jarak sesuai.
Hasil kerjasama dengan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Rantau Panjang, Mamat berkata, dia turut menerima banyak tunjuk ajar dan subsidi baja serta anak benih.
Hasil lumayan
Menurutnya, durian belanda akan mengeluarkan hasil selepas dua tahun, manakala durian musang king dan durian kunyit memakan masa hampir lima tahun.
Menurutnya, jangkaan awal bagi mendapatkan hasil jualan pertama adalah pada 2018 ini.
Katanya, jika dianggarkan setiap pokok mengeluarkan dua durian belanda, hasil diperoleh mungkin mencecah sehingga RM15,000.
“Di luar negara sebiji durian belanda boleh mencecah sehingga lima kilogram setiap satu namun pada musim pertama, saya jangka setiap buah mungkin tidak lebih satu kilogram.
“Selepas ini, saya akan berusaha mendapatkan sijil MyGap Malaysia daripada Jabatan Pertanian untuk label asas produk berkenaan.
“Malah kerjasama erat dengan PPK Rantau Panjang dan agensi lain akan memudahkan saya memasarkan buah durian ini ke pasaran tempatan, restoran dan pasaraya,” katanya.
Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah PPK Rantau Panjang, Abdullah Awang berkata, PPK menggalakkan anak muda bergiat dalam bidang pertanian, kerana ia memberi pulangan lumayan.
“Saya harap lebih ramai anak muda menjadi ahli peladang dan bergiat dalam projek pertanian antaranya lebah kelulut, penanaman pisang dan banyak lagi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Unit Peladang Kok Kieh, Abdul Rahim Abdullah berkata, bukan sekadar menanam pokok, anak muda juga boleh menjadi usahawan pembenihan anak pokok.
Menurutnya, setiap anak pokok buah-buahan hari ini dijual sebanyak RM4 hingga RM20 sepohon.
“Ia adalah hasil lumayan dan wajar diketengahkan untuk generasi anak datang,” katanya.
0 comments:
Post a Comment