Beraksi di halaman sendiri, skuad Tok Gajah perlu menggunakan kelebihan tersebut apabila melayan kunjungan Sime Darby FC untuk pusingan ketiga Piala FA 2016 di Stadium Darul Makmur, malam ini.
Namun dengan prestasi kurang memberangsangkan tiga kekalahan berturut-turut dalam saingan Liga Super 2016 setakat ini, skuad kendalian Ahmad Shaharuddin Rosdi perlu kembali bangkit untuk meraih kemenangan berharga dalam aksi kalah mati tersebut.
Kelemahan ketara yang dipamerkan oleh barisan pemain pertahanan Pahang perlu diperbaiki memandangkan jumlah bolos yang dihadapi mereka dalam empat perlawanan liga sebelum ini boleh memberikan kelebihan buat lawan membolosi gawang tuan rumah.
Kembalinya Poyeng
Dengan ketiadaan pemain pertahanan, Mohd Saiful Nizam Miswan (Poyeng) yang sebelum ini menerima kad merah pada aksi pembuka tirai berdepan Terengganu FC II (TFC II) nyata memberi impak besar kepada benteng pasukan dan kehadiran kembali pemain berusia 35 tahun itu pada malam ini dijangka boleh membantu kapten pasukan, Zesh Rehman yang terpaksa bekerja keras bersama rakan sepasukan.
Malah penjaga gol utamanya pada musim ini, Mohd Nasril Nourdin juga perlu bekerja keras dan beraksi cemerlang sebaik mungkin untuk memastikan gawang Pahang tidak bolos dalam perlawanan ini yang dilihat akan menjadi tumpuan buat peminat Tok Gajah yang dilihat hampa dengan prestasi pasukan kesayangan mereka.
Pemain muda jadi senjata
Khidmat pemain muda juga akan terus menjadi senjata buat Pahang yang mula mempamerkan peningkatan dan keserasian antaranya Mohd Faisal Abdul Halim, Salamon Raj yang turut menjadi penyumbang gol buat pasukan itu selain penyerang kelahiran Argentina, German Ezequiel Pancheco yang juga banyak membantu dan rajin di atas padang membantu rakan sepasukan.
Keputusan malam ini juga dilihat menjadi penentu buat Ahmad Shaharuddin bersama Pahang dan hanya kemenangan yang amat ditagih dapat menyelamatkan nasibnya selepas prestasi kurang meyakinkan sejak Liga Malaysia (Liga-M) musim ini membuka tirainya.
0 comments:
Post a Comment