Kuala Lumpur - Anggota satu pasukan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Malaysia dijadual mengadakan perjumpaan dengan rakan sejawatan mereka dari Mozambique di negara Afrika selatan itu esok untuk berbincang mengenai penemuan satu objek yang dipercayai berasal dari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, anggota DCA akan berjumpa dengan ketua pengarah DCA Mozambique esok untuk berbincang mengenai penemuan itu dan membawa pulang serpihan berkenaan.
Pasukan tiga anggota Malaysia itu, yang terdiri daripada penyiasat dan petugas daripada DCA dan Malaysia Airlines, kini berada di Mozambique bersama rakan sejawatan mereka dari Australia berikutan laporan mengenai penemuan bahagian pesawat awal minggu ini, katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan baharu MCA Kepong bernilai RM7 juta di sini hari ini.
Terdahulu, Tiong Lai berkata, penemuan itu besar kemungkinan mempunyai kaitan dengan Boeing 777, model pesawat yang sama dengan pesawat MAS yang hilang sejak dua tahun lalu.
Menurutnya, objek itu akan dihantar ke Australia untuk diperiksa, tetapimakan kekal di bawah penjagaan Malaysia.
Mengenai tuntutan pampasan yang difailkan waris penumpang MH370, Tiong Lai berkata setakat ini, kurang daripada 60 kes telah diselesaikan.
"Sekali lagi, saya ingin menggesa para waris supaya memfailkan tuntutan mereka sebelum 8 Mac depan, sebelum hak mereka untuk menuntut pampasan berakhir.
"Ini sejajar dengan Konvensyen Montreal, yang mensyaratkan waris mangsa memfailkan tuntutan pampasan dalam masa dua tahun dari tarikh berlaku kejadian," katanya.
Tiong Lai berkata, pada 8 Mac, satu kenyataan sementara akan dikeluarkan para penyiasat Malaysia, manakala Yang Dipertua Dewan Rakyat akan menyampaikan ucapan bagi memperingati ulang tahun kedua tragedi itu.
Pesawat MH370 ke Beijing bersama 239 penumpang dan anak kapal hilang pada awal pagi 8 Mac 2014 setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
0 comments:
Post a Comment