
Kuala Lumpur - Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen mengadakan mesyuarat pertama mengenai Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar yang dirujuk ke jawatankuasa itu susulan isu gambar beliau bersama anak perempuan Sultan Jamalul Kiram III, Jacel Kiram.
Salah seorang ahli jawatankuasa itu, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, ia merupakan langkah pertama bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai isu tersebut.
“Kita semua sedia maklum Nurul Izzah telah dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan. Kita bincang tentang itu dan ia di peringkat awal.
“Kita bincang beberapa perkara dan saya fikir ia berjalan dengan lancar,” katanya ketika ditemui, semalam.
Shamsul Iskandar yang juga Ahli Parlimen Bukit Katil berkata, mesyuarat itu memberi ruang kepada ahli jawatankuasa bagi mengemukakan cadangan berkaitan tindakan ke atas Nurul Izzah.
“Kita cuba cari jalan terbaik dengan bagi ruang kepada ahli-ahli Parlimen (dalam ahli jawatankuasa) untuk kemukakan pandangan berhubung isu-isu berkaitan,” katanya.
Sementara itu Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia ketika ditemui enggan mengulas mengenai perjalanan mesyuarat itu.
Nurul Izzah dirujuk ke jawatankuasa berkenaan ekoran keputusan Parlimen mengadakan undian menerima usul yang dibawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said diterima di Parlimen.

0 comments:
Post a Comment