Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, March 7, 2016

LEBAH KELULUT SUKA `AIR MATA PENGANTIN'


Lebah kelulut suka 'air mata pengantin'


Bachok – Bermula sebagai hobi, kini Norzuraidi Husin, 40, dan isterinya, Rosni Mat Hasan, 38, dari Kampung Kedai Ahad sudah mempunyai lebih 100 sarang kelulut di sekitar rumah mereka.

Modal permulaan hanya beberapa ratus ringgit, pasangan ini memulakan ternakan kelulut madu sejak dua tahun lalu.

“Mulanya suami tengok dalam Facebook tentang madu kelulut yang diusahakan di banyak tempat. Jadi, dia beli dua tiga batang pokok yang ada sarang kelulut untuk permulaan.

“Sekarang kami ada kira-kira 100 batang pokok yang ada sarang kelulut pelbagai saiz. Dulu, kami beli dari negara jiran, tapi sekarang dah ada banyak bekalan di sini.

"Sekarang kami turut bekalkan sarang kelulut untuk penternak kelulut di sekitar daerah ini,” kata Rosni kepada Sinar Harian ketika dilawati Adun Jelawat, Abdul Azziz Kadir.

Rosni berkata, harga sekilogram madu kelulut boleh cecah RM200 dan ia lebih mahal berbanding madu lebah

“Ada pemborong dari Pulau Pinang datang untuk dapatkan madu kelulut kerana ia bagus untuk pesakit kencing manis. Kini, madu dijual bukan sahaja untuk pasaran tempatan tetapi juga luar dari Kelantan termasuk Pahang dan Kuala Lumpur,” katanya.

Rosni berkata, dahulu harga satu sarang kelulut sekitar RM170. Namun, harganya kini mencecah RM230 sebatang mengikut saiz.

Menurutnya, mereka sering menerima bekalan sarang daripada penebang pokok sekitar di Kelantan.

“Pernah juga waktu sahur orang datang hantar batang pokok yang ada sarang. Terkejut juga, tapi memandangkan ia semakin dapat sambutan, kami beli juga.

“Setiap sarang mampu mengeluarkan dua hingga tiga kilogram madu. Sekali kutip, kami pernah dapat 20 kilogram madu," katanya.

Jelasnya, proses mengeluarkan madu menggunakan alat penyedut yang dibeli menggunakan kuasa bateri motosikal.

“Ia lebih mudah dan cepat dikumpul dalam tabung... Jika ambil madu dari sarang yang ada induk besar, kami perlu pakai peralatan khas tutup muka untuk elak disengat,” katanya sambil memberitahu kelulut mempunyai musim tertentu di mana bekalan madu akan berkurangan mengikut musim bunga setempat.

Sekitar akhir tahun bekalan madu akan berkurangan, sementara menjelang Jun dan Julai madu akan lebih banyak berbanding biasa.

“Ia bergantung kepada musim bunga setempat sebab kelulut akan mendapatkan madu dari bunga sekitar kawasan penempatan mereka. Kami difahamkan kelulut sukakan pokok bunga air mata pengantin dan di sini tak ada bunga jenis itu.

Kami terpaksa dapatkan benih bunga air mata pengantin ini dari Sungai Buloh dan dibawa balik tanam di belakang rumah untuk memudahkan kelulut hinggap di situ,” katanya.


0 comments:

share2