Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, March 23, 2016

[KUANTAN] URUS PEMETAAN UTILITI BAWAH TANAH


Urus pemetaan utiliti bawah tanah


Kerajaan Negeri berhasrat mewujudkan pusat perkhidmatan bagi mengurus dan menyelaraskan kerja pemetaan utiliti bawah tanah di negeri ini dengan kerjasama beberapa agensi berkaitan.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-Tugas Khas Pahang. Datuk Norol Azali Sulaiman berkata, sebuah organisasi khas dalam bentuk syarikat di bawah kerajaan negeri akan dipertanggungjawab bagi tujuan tersebut.

Menurutnya, usaha itu dapat mengurangkan kos dan masa selain mengelak kesan buruk kepada rakyat susulan masalah yang timbul.

“Utiliti bawah tanah ini merangkumi kabel dan paip yang ditanam di dalam tanah di semua tempat samada bahu jalan raya atau penempatan.

“Jika tiada pemetaan dibuat, pasti timbul pelbagai masalah yang akhirnya jejas rakyat contohnya, paip air pecah ketika kerja penanaman kabel komunikasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kursus Pemetaan Utiliti Bawah Tanah di Dewan Seminar Kokurikulum Politeknik Sultan Ahmad Shah (Polisas) di sini, kelmarin.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan 2, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem), Datuk Sr Mohd Noor Isa dan Timbalan Pengarah (Akademik) Polisas, Lt Kol Bersekutu (PA) Shamsuria Mohd Ariffin.

Norol Azali berkata, dengan adanya pelan pemetaan utiliti, kontraktor terlibat dapat melakukan kerja berpandukan pelan tersebut sekaligus mengelak kerosakkan harta benda lain dan peningkatan kos.

Beliau berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) disarankan memperkuatkuasakan undang-undang sedia ada termasuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap kontraktor yang melakukan kerja tanpa merujuk pelan utiliti bawah tanah sehingga mengundang kerosakkan harta benda.

Sementara itu, Mohd Noor berkata, pihak Jupem menyambut baik kesediaan kerajaan negeri untuk melaksanakan aktiviti pemetaan utiliti bawah tanah yang dimulakan di kawasan Kuantan.

Menurutnya, pemasangan utiliti baharu perlu menggunakan khidmat juruukur bertauliah supaya menepati piawaian Jupem bagi memastikan pembangunan terancang dilaksana dengan baik tanpa mengakibatkan kerosakkan.

“Terdapat lebih 70 juruukur bertauliah yang ditauliahkan semula di seluruh negara dan tidak kurang tujuh orang di Pahang yang sedia untuk memikul tugas ini,”k atanya.

Beliau berkata, kejadian banjir di Kampung Kayu Ara, Selangor akibat paip pecah ketika kerja penanaman cerucuk besi projek MRT dua tahun lalu antara contoh masalah yang timbul apabila tiada pemetaan utiliti bawah tanah yang boleh dijadikan rujukan.

“Kita tidak mahu perkara sebegini berlaku kerana ia menyebabkan masalah dan merugikan semua pihak termasuk orang ramai,” katanya.


0 comments:

share2