
Kuala Kangsar - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, baginda sudahpun dimaklumkan nama individu tertentu yang ada hubung kait sejarah dengan kerabat Diraja Perak yang terlibat secara langsung dengan aktiviti penganugerahan darjah kebesaran palsu.
Baginda berkata, perkara itu dimaklumkan polis yang telah menghadap dan menyembahkan laporan aktiviti sedemikian secara terperinci.
Titah baginda, berdasarkan laporan yang disembah dan perbincangan diadakan, perbuatan menganugerahkan gelaran Dato’ Seri dan Dato’ secara komersial itu, sahih dan dilakukan beberapa individu dengan mencipta Darjah Gelaran tertentu untuk ditawarkan kepada orang ramai dengan mengenakan bayaran.
“Ditegaskan bahawa aktiviti ini adalah satu penipuan. Polis Diraja Malaysia telah menghadap dan menyembahkan laporan aktiviti sedemikian secara terperinci kepada Beta.
“Aktiviti ini semakin berkembang dan semakin dikomersialkan untuk meraih keuntungan. Ia telah mencemarkan Institusi-institusi Raja, Istana dan Kerajaan kerana mewujudkan Darjah tersendiri yang tidak mendapat pengiktirafan rasmi Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan.
“Aktiviti ini juga mempersendakan Darjah Kebesaran yang sahih dan status para penerima anugerah Darjah yang sahih dengan menyalahgunakan nama serta kemuliaan Darjah untuk tujuan komersial,” titah baginda pada Mesyuarat Dewan Negara Perak ke 165 di Istana Iskandariah Kuala Kangsar, hari ini.
Baginda mahu, tindakan tegas atau jika perlu, undang-undang lebih ketat digubal dan hukuman lebih berat dikenakan dalam usaha menangani perbuatan komersial dan penipuan yang sedang berlaku itu.
Menurut baginda, undang-undang wajib dilaksanakan tanpa gentar, tanpa pilih kasih dan dikuatkuasakan secara saksama tanpa memberi keistimewaan atau imuniti kepada sesiapa juga.
“Pihak yang terbukti bersalah, wajib berhadapan dan dikenakan tindakan yang setimpal. Pendirian mendiamkan diri dan tidak membetulkan kesalahan oleh pihak berkuasa boleh ditakrif sebagai merestui dan mengizinkan kesalahan terus dilakukan,” titah baginda.

0 comments:
Post a Comment