Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, March 18, 2016

[CAMERON HIGHLAND] KEDINGINAN 'HILANG' AKIBAT EL NINO


Cameron Highlands


Bila sebut tentang percutian ke Cameron Highlands pastinya masing-masing membayangkan suhunya yang dingin.

Lebih daripada itu, pengunjung tempatan terutamanya teruja untuk datang ke tanah tinggi ini untuk merasai pengalaman 'wap-wap' iaitu asap keluar dari mulut apabila bercakap.

Bagaimanapun, pengunjung yang datang bercuti ke pusat peranginan ini mendapati semua itu seolah 'lenyap' disebabkan cuaca panas dan kering akibat fenomena El Nino yang melanda sekarang. 

Rosdan Razali, 45, dari Ipoh, Perak yang datang bercuti ke sini bersama-sama keluarga berkata keadaan panas ketika ini menyebabkan kedinginan "hilang".

"Tahun ini panas lain macam. Sebelum ini bila kita bercakap, mulut pun keluar asap sebab terlalu sejuk.

"Saya, isteri serta anak-anak bawa baju sejuk, stokin serta sarung tangan apabila bercuti ke sini, tahun ini memang tak perlu pakai semua itu," katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Seorang lagi pengunjung, Salasiah Ismail, 41, dari Kulim, Kedah berkata Cameron Highlands yang sinonim dengan suhu dingin juga tidak terlepas daripada bahang fenomena El Nino.

"Saya pernah datang ke sini beberapa tahun lepas, namun ketika itu cuaca sangat sejuk sehingga bila tidur di hotel tak perlu pasang kipas berbanding sekarang.

"Saya rasa tak seronok pula kali ini bercuti di sini sebab cuaca tak sejuk sangat," katanya.

Salasiah yang bercuti bersama-sama suami serta tiga orang anak juga terkejut dengan kenaikan mendadak harga sayur-sayuran serta buahan-buahan di sini yang didakwa peniaga sebagai kesan daripada cuaca panas dan kering.

Menurut laman web Jabatan Meteorologi Malaysia, suhu maksimum yang direkodkan di pusat peranginan ini sejak 1 Mac lepas adalah antara 24 hingga 25 darjah Celsius.


0 comments:

share2