Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, March 18, 2016

KAWASAN PANTAI BAKAL DITAMBAK


Kawasan pantai bakal ditambak


Lumut - "Cukup, sudah cukup kami berkorban. Sebelum ini pelbagai pembangunan sudah dilaksanakan hingga kawasan tangkapan ikan semakin terhad,".

Demikian luahan nelayan di pantai warisan Teluk Muroh, di sini, apabila kawasan pantai yang dijadikan sebagai tempat menyimpan bot dan sampan dikatakan bakal ditambak untuk projek pembangunan.

Kawasan pantai sepanjang lebih kurang 1,000 meter itu bukan sahaja menjadi tempat menyimpan bot dan sampan, malah turut menjadi lokasi orang awam mengutip hasil laut seperti kerang dan siput pelbagai jenis.

Nelayan, Azman Yusof, 47, berkata, mereka sudah cukup banyak berkorban sebelum ini atas nama pembangunan, namun kerja-kerja penambakan itu harus dihentikan.

Menurutnya, pantai warisan Teluk Muroh itu tidak patut dimasukkan dalam projek pembangunan memandangkan ia digunakan lebih 100 nelayan pesisir pantai.

"Tak patut mereka korbankan pantai ini untuk projek pembangunan sebab sebelum ini kami dah hilang kawasan lubuk ikan bila adanya pembinaan sebuah pulau buatan, lepas itu projek pembinaan kilang memproses bijih besi dan sekarang pantai ini pula bakal jadi korban.

"Cukuplah kami dah banyak berkorban demi pembangunan. Hentikanlah segera projek ini sebab ini saja tempat kami ada nak cari rezeki," katanya.

Satu-satunya lokasi simpan barang

Azman berkata, sebagai nelayan dan penduduk setempat, mereka juga mahukan pembangunan tetapi biarlah pembangunan itu tidak menjejaskan sesiapa.

"Kami tak halang sebarang pembangunan tapi biarlah kena pada tempatnya dan nelayan tak terima akibat dari pembangunan ini.

"Sebelum sebarang pembangunan dilaksanakan di sini, sepatutnya mereka datang bincang dengan nelayan dulu. Tanya pendapat kami dan bentang apa yang patut. Sekarang, kerja penambakan dah buat. Ini buatkan kami sedih dan kecewa," katanya.

Penduduk, Zulkifli Hamid, 58, berkata, pihak berkenaan harus menghentikan segera sebarang pembangunan di kawasan pantai itu kerana ia akan memberi pelbagai kesan negatif.

Menurutnya, kawasan itu harus diselamatkan kerana hanya itu sahaja pantai yang tinggal di situ yang menjadi lokasi nelayan menyimpan sampan, menaikkan hasil tangkapan dan menjadi lokasi perkelahan orang awam.

"Ada yang datang dengan keluarga kutip siput, kerang dan sebagainya dekat pantai ini.

"Kalau ditambak dan dibina bangunan, pasti akan musnahkan semua di sini. Sayang sekali kalau pantai sekecil ini pun ditambak," katanya.

Seorang lagi nelayan, Ahmad Harun, 65, berkata, dia sedih apabila tempatnya menyimpan bot dan menaikkan hasil ikan bakal ditambak.

"Sayu bila saya dapat tahu kawasan ini akan dibangunkan. Dekat mana lagi kami nak cari rezeki sebab kami hanya nelayan pesisir pantai.

"Kami tak dapat pergi ke kawasan lebih jauh memandangkan bot kami kecil saja. Saya juga besarkan anak-anak dengan hasil pendapatan sebagai nelayan. Besar harapan saya agar projek ini dapat dihentikan memandangkan ia dah jadi macam 'milik' kami di sini," katanya.

Kuasa tubuh jawatankuasa bantu selamatkan pantai

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa), Hafizudin Nasarudin berkata, pihaknya sudah menubuhkan Jawatankuasa Selamatkan Pantai Warisan Teluk Muroh bagi membantu mereka yang terlibat menyelamatkan pantai itu.

Menurutnya, pihaknya akan berbincang dengan penduduk bagi membawa isu itu kepada pegawai daerah Manjung dan menteri besar.

“Kita akan membawa isu ini kepada pihak berkaitan supaya tindakan segera dapat diambil dengan mempertimbangkan semula keputusan yang sudah dibuat.

“Mereka seharusnya mengutamakan penduduk kerana projek penambakan ini walaupun tidak menjejaskan penduduk atau nelayan namun menjejaskan ekosistem laut kerana ia melibatkan kawasan pantai. Ia harus dikaji dan diteliti terlebih dahulu sebelum sebarang projek pembangunan dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco kelmarin berkata, pihaknya sudah mengambil maklum tentang perkara tersebut.

Beliau yang juga Adun Pangkor berkata, penjelasan lanjut mengenai isu itu akan dibuat dalam masa terdekat di kawasan berkenaan.


0 comments:

share2