Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, March 7, 2016

[BENTA] KESUSAHAN HIDUP DAPAT PERHATIAN


Kesusahan hidup dapat perhatian


Kepayahan hidup seorang ibu tunggal, Juliza Kamaruddin, 31, menjaga dua anak termasuk seorang anak OKU yang menghidap sakit jantung, Muhammad Zulfadzli Abd Rahni, 11, mendapat perhatian kerajaan negeri.

Juliza berkata, bantuan dihulurkan sememangnya membantu meringankan bebannya terutama dalam hal kebajikan anak bongsunya itu.

Menurutnya, Muhammad Zulfadzli yang bisu dan cacat pendengaran mengidap komplikasi jantung sejak dilahirkan.

“Sumbangan kerajaan negeri ini memberi keselesaan kepada anak saya untuk tidur dan ulang kaji pelajaran sebab kami memang tak mampu beli.

"Saya bersyukur dan berterima kasih atas kunjungan ini serta jaminan yang diberikan untuk memantau kebajikan dan persekolahan anak," katanya.

Dia ditemui ketika menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abdul Razak ke rumahnya di Kampung Tersusun Melayu Jerkoh, Benta di sini, kelmarin.

Juliza berkata, dia tidak bekerja selepas kematian suaminya, Abd Rahni Ludin, empat tahun lalu.

"Saya hanya bergantung kepada bantuan bulanan RM200 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan zakat Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP) RM300.

“Wang ini saya gunakan untuk belanja harian dan persekolahan Muhammad Zulfadzli dan abangnya (Muhammad Roslani, 12),” katanya.

Katanya, Muhammad Zulfadzli menerima surat daripada Institut Jantung Negara (IJN) untuk pembedahan keduanya, 14 April depan.

Katanya, dia risau dan buntu memikirkan kos pembedahan termasuk pembiayaan keperluan diri yang perlu disediakan.

Sementara itu, Mohd Soffi yang juga Adun Benta berkata, kerajaan sentiasa cakna dengan nasib OKU terutamanya yang mengidap sakit kronik.

"Kita dapat laporan daripada ketua kampung di sini, Muhammad Zulfadzli hanya tidur atas lantai simen dan terpaksa ulang kaji pelajaran dalam keadaan tidak selesa di rumahnya.

"Jadi, kita cuba ringankan beban keluarga ini dengan menyerahkan sumbangan daripada kerajaan negeri, antaranya peralatan bilik tidur dan dapur serta keperluan harian," katanya.

Beliau berkata, Pejabat Dun Benta dan Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Melayu Jerkoh akan memantau untuk menjaga kebajikan keluarga itu.

“Saya difahamkan, kos pembedahan kali kedua Muhammad Zulfadzli turut mendapat bantuan kerajaan menerusi JKM.

"Cumanya, kita akan melihat keperluan lain selepas pembedahan itu nanti,” katanya.


0 comments:

share2