Shah Alam – Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) menyatakan bantahan terhadap cadangan Peguam Negara,Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang sedang mengkaji melaksanakan undang-undang bagi wartawan yang enggan mendedahkan sumber berita masing-masing.
Menurut Setiausaha Agung NUJ, Schave Jerome De Rozari berkata, cadangan tersebut bercanggah dengan etika kewartawanan yang bersifat melindungi sumber maklumat yang diperolehi untuk sesuatu laporan berita.
“Ia disifatkan satu kezaliman kerana tugas wartawan adalah untuk melaporkan kebenaran dan bukan sebaliknya. Setiap rakyat wajib mengetahui apa-apa sahaja yang ada kaitannya dengan agama, bangsa dan negara.
"Di negara kita, wartawan mempunyai ruang lingkungan tugas mengikut skop tertentu iaitu setiap wartawan disarankan mematuhi rukun moral yang digariskan Kesatuan Wartawan Kebangsaan (National Union of Journalists peninsular Malaysia) iaitu antaranya menghormati kebenaran dan hak orang ramai untuk mendapatkan laporan yang benar dan tepat, mempertahankan dua prinsip penting iaitu kebebasan mencari dan mencetak laporan secara jujur, hak mengulas dan menegur secara adil tanpa tekanan daripada pelbagai pihak.
"Seterusnya, laporan yang dibuat hanya berdasarkan fakta-fakta yang jelas dan sahih berdasarkan sumber yang jelas dan sah,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Semalam, Mohamed Apandi dilaporkan sedang mempertimbang untuk meminda undang-undang bagi meningkatkan hukuman ke atas mereka yang membocorkan rahsia negara dan wartawan yang melaporkannya.
Katanya, Pejabat Peguam Negara sedang mengkaji untuk meminda Akta Rahsia Rasmi 1972 bagi memasukkan hukuman penjara seumur hidup dan 10 sebatan rotan.
Sehubungan itu, pihaknya meminta petugas media mendapatkan pengesahan maklumat secara bertulis daripada menteri atau Peguam Negara terlebih darhulu sebelum melaporkannya.
“Cara yang digunakan untuk mendapat berita, gambar dan dokumen penting hendaklah secara jujur dan mengikut undang-undang yang telah ditetapkan.
“Wartawan juga mestilah sanggup menyiarkan kembali kenyataan yang benar jika berlaku kesilapan dalam laporan awal. Wartawan juga perlu menghormati dan memelihara hak sumber supaya tidak menyiarkan sumber yang tidak menginginkan namanya disebut,” katanya lagi.
Masalahnya beretikakah wartawan kita bila melaporkan sesuatu isu tanpa bukti yang sahih dan betul?