Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, February 1, 2016

NASIB MUKHRIZ DITENTUKAN HARI INI


Mukhriz Mahathir


Alor Setar - Segala-gala mungkin terjawab hari ini termasuk penentuan nasib Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar (MB) Kedah sama ada kekal atau digugurkan dan digantikan tokoh lain.

Setelah berlarutan selama 12 hari, penyelesaian kepada kemelut ini dirasakan semakin hampir apabila Jemaah Pemangku Sultan Kedah meminta semua wakil rakyat BN menghadap di Wisma Darul Aman, petang ini. 

Mungkin inilah cara terbaik untuk menyelesaikan kemelut politik Kedah yang timbul apabila sebahagian pemimpin Umno menyatakan hilang keyakinan dan sokongan kepada kepimpinan Mukhriz sebagai Pengerusi Umno negeri dan MB Kedah pada 20 Januari lalu diketuai Timbalan Pengerusi Umno Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Walaupun sudah heboh dan menular ke merata tempat pelbagai maklumat yang sahih dan tidak sahih, tetapi Jemaah Pemangku Sultan Kedah perlu mengetahui maklumat terus daripada semua pihak yang terlibat bagi mendapat gambaran sebenar tanpa merujuk kepada maklumat pihak lain di samping mendengar pendirian setiap Adun berhubung isu itu.

Mengikut amalan biasa, majlis itu walaupun dihadiri semua wakil rakyat yang terlibat, pertemuan dengan ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah akan berlangsung secara bersendirian iaitu seorang demi seorang akan masuk menghadap dan menyatakan pendirian. 

Tiada siapa pun yang tahu isi hati setiap Adun yang hadir sama ada menyokong atau menolak Mukhriz. 

Jika mengikut perkiraan atas kertas dan berdasarkan perkembangan sebelum ini akan menyaksikan 19 daripada 21 Adun BN - 17 dari Umno dan dua MCA menolak kepimpinan Mukhriz.

Sebelum ini, mereka dikatakan sudah menandatangani surat akuan menyatakan hilang kepercayaan terhadap Mukhriz.

Sehingga kini, hanya Adun Jitra, Datuk Aminuddin Omar yang juga Exco Belia dan Sukan menyatakan sokongan terbuka dan terus setia bersama Mukhriz.

Bagaimanapun, dalam keadaan tertutup, keadaan boleh berubah dan tidak mustahil ada kemungkinan Adun boleh berpaling tadah dan terus menyokong Mukhriz. 

Seorang bekas wakil rakyat Umno ketika ditanya pendapatnya mengenai perkara itu tidak menolak kemungkinan macam-macam yang boleh berlaku dalam bilik perbincangan itu kelak. 

“Kita tidak tahu hati manusia. Dalam politik macam-macam boleh jadi. Mulut cakap lain tapi hati beri isyarat lain.

“Sebagai wakil rakyat yang memegang amanah parti dan rakyat, mereka perlu buat keputusan yang sudah dipersetujui bersama. Jangan belot atau tikam dari belakang,” katanya.

Menurutnya, keadaan boleh berubah dalam tempoh dua atau tiga minit ketika berlangsung pertemuan 'seorang demi seorang' dengan Jemaah Pemangku Sultan Kedah.

Menurutnya, tidak mustahil dan mungkin boleh berlaku seorang dua Adun atau ahli Exco yang sudah lama bersama Mukhriz akan simpati dengannya dan berubah fikiran atau pendirian. 

“Akhirnya mereka berpihak kepada Mukhriz untuk membolehkannya terus mengekalkan kuasa dan politiknya sebagai MB Kedah dengan membelakangkan keputusan parti,” katanya. 

Dalam keadaan sekarang, beliau menasihati semua Adun agar memenuhi tanggungjawab dan amanah untuk merungkai segera kemelut politik yang berlaku di Kedah.

“Setiap Adun BN boleh membantu menyelesaikan masalah ini dengan segera. Jangan biar ia berlarutan begitu lama. 

“Malu kepada rakyat yang sedang memerhatikan gelagat pemimpin Umno dan BN akibat perebutan kuasa,” katanya. 

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menghadap Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah, yang juga Tunku Temenggong Kedah, di Istana Darul Aman, Bukit Persekutuan, Kuala Lumpur membincangkan pertukaran MB. 

Turut hadir, Tunku Laksamana Kedah, Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani dan Tunku Panglima Besar Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Shafinaz Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Rentetan itu, Jemaah Pemangku Sultan Kedah perlu mendengar pula suara dan pendapat setiap Adun berhubung kemelut yang berlaku. 

Seorang pemerhati politik berkata, kaedah yang diguna pakai itu bukan amalan baharu dalam sistem demokrasi dan raja berperlembagaan. 

Ia sudah diguna sejak dahulu apabila timbul sebarang masalah atau krisis kepimpinan di peringkat negeri. 

Sebelum ini, sistem yang sama digunakan di Perak pada 2009 apabila beberapa Adun PR menarik balik sokongan kepada MB, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan menyatakan sokongan kepada BN.

Ia menyebabkan berlaku krisis Perlembagaan sehingga Sultan Perak ketika itu, Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah campur tangan bagi menyelesaikannya.

“Baginda memanggil semua Adun menghadap seorang demi seorang untuk mengetahui pendirian masing-masing.

“Ini kerana BN mendakwa mendapat sokongan majoriti Adun dan boleh membentuk kerajaan negeri. Akhirnya sistem ini berjaya menyelesaikan masalah yang berlaku dan BN dapat membentuk semula kerajaan di Perak selepas hampir setahun ditadbir PR,” katanya.

Menurutnya, kaedah sama digunakan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ketika berlaku krisis kepimpinan membabitkan MB ketika itu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Baginda memanggil MB untuk mendengar kesahihan dan kedudukan sebenar masalah yang berlaku. Jika mendapati MB tidak lagi mendapat sokongan majoriti Adun melalui surat akuan atau pengakuan seorang demi seorang, baginda boleh membuat keputusan mengikut lunas undang-undang tubuh negeri,” katanya.


0 comments:

share2