Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, February 1, 2016

PENGSAN TERHIDU GAS KLORIN


Pengsan terhidu gas klorin


Seremban - Rutin harian kira-kira 26 petugas Loji Rawatan Air Sungai Linggi, Kuala Sawah, di sini, Khamis lalu terganggu apabila berlaku kebakaran dalam bilik penyimpanan klorin, semalam.

Ekoran insiden itu, seorang petugas mengalami kecederaan serius manakala dua lagi tidak sedarkan diri selepas terhidu gas beracun yang meruap di udara.

Bagaimanapun, tindakan pantas pasukan respons kecemasan Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) berjaya mengawal keadaan daripada menjadi lebih buruk.

Mereka segera mengeluarkan petugas yang cedera ke tempat selamat, selain mengarahkan supaya kawasan berkenaan dikosongkan.

Malangnya, dua lagi petugas tidak sempat menerima bantuan kerana lokasi terbabit sudah dipenuhi gas klorin.

Justeru, tugas menyelamat perlu diserahkan kepada Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, di sini, yang tiba lebih kurang 15 minit kemudian.

Melalui perancangan teratur dan efisien, kedua-dua mangsa akhirnya dapat diselamatkan dan seterusnya dibawa ke hospital.

Begitu pun, semua insiden itu bukanlah benar-benar terjadi kerana ia merupakan sebahagian daripada latihan kebakaran dianjurkan oleh Unit Keselamatan dan Kesejahteraan Pekerjaan bersama pihak bomba, PDRM, Klinik Kesihatan, dan beberapa lagi agensi berkaitan. 

Pengurus Besar Sains, Zulkifli Ibrahim berkata, simulasi tersebut amat penting sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan berikutan loji itu menyimpan lebih kurang 600 kilogram klorin pada satu-satu masa.

“Latihan ini diadakan secara berkala, cuma lokasinya berubah setiap tahun. Macam sebelum ini, kita buat di Loji Rawatan Air Kuala Jelai,” katanya seramai 21 anggota bomba terlibat dalam aktiviti berkenaan. 

Turut hadir, Penolong Kanan Penguasa Bomba Yahya Jaafar dan Penguasa Bomba Jusman Roman.


0 comments:

share2