
Alai - Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sedang menunggu peruntukan bagi menaik taraf Medan Ikan Bakar Alai Perdana mengikut kesesuaian reka bentuk dan peredaran semasa.
Ahli Majlis MBMB, Akrammuddin Abdul Aziz bagaimanapun berkata, buat sementara waktu, pihaknya akan memastikan tahap kebersihan dan susun atur di gerai sedia ada kini sentiasa berada pada tahap sempurna.
Beliau berkata, buat permulaan, MBMB akan menjalankan pemeriksaan sekali dalam tempoh dua bulan bagi tujuan tersebut.
“MBMB sedang menunggu peruntukan untuk membaik pulih atau membina semula gerai baru di tapak yang sama mengikut peredaran semasa. Sekiranya peruntukan turun kita akan membina segera seperti mana Medan Ikan Bakar Pernu yang akan dibina semula oleh pihak Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM),” katanya pada program gotong-royong bersepadu bersama peniaga di Medan Ikan Bakar Alai Perdana di sini, semalam.
Turut sama, Penolong Pengarah Jabatan Pengeraian dan Premis Perniagaan MBMB, Mohd Jamili Abdul Rahim.
Program berkenaan turut melibatkan beberapa agensi termasuk MBMB, SW Corp dan SWM Environment (SWM).
Pada pertemuan itu juga, Akrammuddin turut mengambil kesempatan menyelesaikan masalah parkir pelanggan ikan bakar yang dikatakan kurang teratur setiap kali berdepan jumlah kunjungan pelanggan yang ramai.
“Kita meminta kerjasama operator parkir supaya dapat menambahkan lagi kakitangan terutama pada waktu puncak ketika hujung minggu dan cuti umum,” katanya.
Sementara itu, Mohd Jamili berkata, pihaknya akan melakukan pemeriksaan secara berkala lebih kerap terhadap kebersihan semua premis yang beroperasi di situ membabitkan Jabatan Kesihatan MBMB.
“Sekiranya mereka gagal mematuhi tahap kebersihan mengikut standard yang ditetapkan, gerai terlibat boleh diarah tutup sementara.
“Apa yang dilaksanakan bagi menjaga imej kawasan ini dan menghindari daripada aduan orang ramai terhadap tahap kebersihan,” katanya.
Medan Ikan Bakar Alai Perdana menyediakan tujuh unit gerai membabitkan lima orang peniaga.
Ia meliputi empat peniaga menjalankan perniagaan ikan bakar manakala selebihnya perniagaan kraftangan.

0 comments:
Post a Comment