Tiga beranak dikesan menjadikan sebuah pondok di Batu 7, di sini sebagai tempat berteduh sejak setahun lalu.
Kisah Nafisah Ibrahim, 34, bersama dua anaknya, Nur Zulaikha Arisya, 4, dan Siti Nur Aisyah yang baru berusia tiga bulan itu diketahui umum selepas menjadi viral dalam laman sosial, Facebook.
Difahamkan, wanita berasal dari Kampung Marhum, Pekan itu dipercayai tinggal di kawasan semak terbabit akibat kesempitan hidup.
Pegawai Hal Ehwal Islam Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) cawangan Kuantan, Fathullah Saadon berkata, sebaik mengetahui mengenai kisah tiga beranak itu, pihaknya mengambil langkah drastik memindahkan mereka ke Kompleks Asnaf Muip.
Katanya, tempat tinggal yang selesa akan memudahkan sebarang urusan wanita terbabit.
“Kita mengambil langkah segera membawa mereka ke rumah asnaf bagi mengelak sebarang perkara tidak diingini.
“Tambahan pula, ada dua kanak- kanak turut bersamanya,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, pihaknya akan melakukan siasatan ke atas wanita berkenaan terutama daripada segi maklumat diri dan status perkahwinannya sebelum bantuan sewajarnya diberikan.
Sementara itu, Adun Panching, Datuk Mohd Zaili Besar menyambut baik tindakan segera Muip itu.
Katanya, perkara itu perlu diselesaikan secara bersepadu antara Muip, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan polis.
“Banyak isu berbangkit yang timbul dan saya harap perkara itu dapat diselesaikan supaya tidak berulang.
“Dalam pada itu, saya ingin mengingatkan kepada pihak yang mahu meviralkan sesuatu isu supaya mendapatkan maklumat tepat terlebih dahulu dan bukannya hanya menyalahkan pemimpin setempat dan agensi terlibat,” katanya.
Mohd Zaili berkata, pada tahun lalu, wanita itu sudah diserahkan kepada JKM apabila ditemui tinggal di kawasan semak di Jalan Pintasan Bukit Rangin bersama Nur Zulaikha.
Nafisah juga mempunyai lima anak hasil perkahwinannya dengan suami pertama yang kini dijaga oleh keluarga mentuanya.
0 comments:
Post a Comment