Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, February 23, 2016

[KUANTAN] PARTI AMANAH, ANAK, PKR BINCANG SELESAI ISU BAUKSIT

Bincang selesai isu bauksit




Parti Amanah, Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), PKR Pahang dan Jawatankuasa Bertindak Bauksit Pahang mengadakan pertemuan bagi membincangkan isu Bauksit di Felda Bukit Goh di sini semalam.

Presiden Amanah, Hasanuddin Mohd Yunus berkata, mustahil untuk menghentikan perlombongan itu secara tiba- tiba kerana melibatkan hak peneroka itu sendiri.

Menurutnya, bauksit yang terdapat dalam kawasan tanah milik peneroka Bukit Goh merupakan anugerah kepada mereka untuk dinikmati.

“Kita tidak boleh salahkan peneroka semata-mata dengan melabelkan mereka sebagai tamak kerana ditakdirkan ladang mereka mempunyai hasil bumi bernilai dan boleh memberikan keuntungan,” katanya.

Hasanuddin berkata, menjadi tanggungjawab kerajaan negeri dan kerajaan pusat untuk memikirkan kaedah serta langkah menangani masalah yang timbul.

“Kami akan buat kajian lebih mendalam terhadap isu ini agar hak yang menjadi milik peneroka tidak disia-siakan.

“Dalam masa terdekat ini, pihak kami akan berjumpa dengan pakar-pakar perundangan, pensyarah dan pegawai-pegawai yang terlibat untuk membantu memberi pendapat masing-masing,” katanya.

Sementara itu,Presiden Anak, Mazlan Aliman berkata, pihaknya juga tidak akan kompromi dengan isu kesihatan dan keselamatan namun peneroka juga berhak menambah pendapatan mereka melalui peluang terbuka luas.

“Dengan isu FGV yang tidak bersesudahan serta kadar harga komoditi tidak stabil menyebabkan pendapatan peneroka tidak menentu.

“Tetapi melalui hasil bauskit, sekurang-kurangnya mereka berpeluang menikmati kehidupan lebih cerah,” katanya.

Setiausaha PKR Pahang, Kamarzaman Mohamed Yunus pula berkata, pihaknya tidak halang perlombongan bauskit dihentikan, tetapi perlu ada jalan penyelesaian supaya penduduk tidak terjejas.

Setiausaha Jawatankuasa Penyelaras Bauksit Bukit Goh,Dr Sharudin Mohd berkata, pihaknya merancang mengadakan perjumpaan meja bulat dengan kerajaan negeri dan Menteri Besar bersama NGO terlibat untuk berbincang bagi menyelesaikan isu bauksit di negeri ini.




0 comments:

share2