Beban yang terpaksa ditanggung seorang bapa tunggal untuk membesarkan dua anak sejak kematian isterinya Jun tahun lalu semakin ringan apabila dia mula menerima pelbagai bentuk bantuan setelah kisahnya mula diviralkan dalam laman sosial Facebook sebelum ini.
Bapa tunggal terbabit, Salman Hadi, 30, berkata, kedua-dua anaknya, Muhammad Fidaus, 4, dan Muhammad Zulfahmi, 2, masing-masing bakal menerima bantuan RM100 seorang daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bermula bulan hadapan.
Menurutnya, dia tidak menyangka kisahnya mendapat perhatian ramai setelah dia dikunjungi pihak persendirian yang menghulurkan bantuan dan kemudiannya memuat naik status dalam Facebook.
Tambahnya, bantuan demi bantuan diterima sejak kira-kira sebulan lalu, di mana dia mula ditawarkan untuk bekerja dengan sebuah syarikat kontraktor untuk membersihkan longkang dan memotong rumput.
“Anak-anak pula saya letakkan di taska berhampiran. Saya bersyukur kerana pihak taska hanya mengenakan bayaran RM350 untuk kedua-dua anak saya.
“Dengan pendapatan kira-kira RM800 hingga RM900 sebulan ini nanti, dapatlah saya tampung duit taska anak-anak saya,” katanya.
Salman juga amat bersyukur dengan sikap prihatin pemilik rumah yang masih membenarkannya tinggal di rumah yang disewa sejak lebih setahun lalu pada kadar sewaan RM70 sebulan meskipun bayaran sewa telah tertunggak sejak beberapa bulan lalu.
“Pagi tadi (kelmarin) saya pergi ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan mereka maklumkan kedua-dua anak saya akan terima bantuan bulanan sebanyak RM100.
“Anak saya yang sulung ni walaupun baru berusia 4 tahun, tapi dia sangat memahami, malah sentiasa beralah dengan adiknya. Dia juga banyak bantu saya. Tapi, pernah juga dia merungut bila saya tiada duit dan minta saya meniaga seperti dulu supaya dia boleh beli mainan impiannya. Biasalahkan...budak-budak,” katanya.
Salman berkata, setiap bantuan yang dihulurkan untuk kepentingan anak-anaknya dan akan dimanfaatkan untuk membeli keperluan mereka.
Bercerita tentang kisah kehidupannya dan anak-anak sejak kematian isterinya Jun tahun lalu, Salman dikatakan terpaksa memberikan susu pekat manis bagi menggantikan susu tepung untuk kedua-dua anaknya itu yang masih menyusu botol.
“Saya tahu susu pekat manis ini tak elok untuk mereka, tapi saya tak ada pilihan lain. Sebelum isteri meninggal, saya masih mampu beri mereka minum susu tepung,” katanya.
Salman berkata, sejak isterinya, Mis Norhayati Tim Panamin, 22, meninggal dunia, dia tidak lagi dapat bekerja kerana mahu menjaga kedua anaknya itu.
“Melihatkan keadaan anak-anak saya, mereka memang tak kenyang sebab minum susu ini, disebabkan itu, mereka perlu juga makan nasi.
“Tapi saya hanya mampu beri mereka nasi berlaukkan telur hampir setiap hari. Apa yang ada, itulah yang mereka makan,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, kelmarin.
Salman memberitahu, isterinya dikatakan meninggal dunia akibat demam selain dimaklumkan doktor ia berpunca daripada jangkitan kuman dalam paru-paru.
“Selama ini isteri yang jaga anak-anak, manakala saya pergi kerja. Tapi sejak isteri meninggal, sayalah yang terpaksa menjaga mereka,” katanya yang berasal dari Tembeling Tengah.
Tambahnya, sebelum kematian isterinya, dia tidak mempunyai kerja tetap dan pernah melakukan perniagaan kecil-kecilan di pasar malam atau pekan sehari, namun wang perniagaan itu cukup untuk menampung perbelanjaan harian mereka sekeluarga.
“Sejak isteri saya meninggal, keadaan saya memang agak tidak terurus, tambahan pula saya tak boleh bekerja keras kerana masalah tiroid yang saya hadapi.
“Saya bergantung kepada ubat setiap hari dan terpaksa dapatkan rawatan setiap bulan di hospital,” katanya.
Salman dalam pada itu berkata, dia berhasrat untuk menghantar kedua-dua anaknya itu ke sekolah pondok kerana itu merupakan impian isterinya sebelum meninggal dunia.
“Saya bukan mahukan wang untuk diri saya, tapi saya lebih utamakan anak-anak. Tapi saya amat bersyukur jika ada yang sudi menghulurkan bantuan,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan kepada keluarga ini boleh menghulurkannya melalui akaun Hong Leong Bank milik Salman iaitu 032-50-360425 atau hubunginya di talian 017-9696847.
0 comments:
Post a Comment