Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, February 10, 2016

[JERANTUT] PENDERMA MISTERI BANTU DUA BERADIK


Penderma misteri bantu dua beradik


Seorang penderma misteri dikatakan mengubah nasib dua beradik yang selama ini tidak dapat bersekolah kerana dihimpit kemiskinan.

Norazren Mohd Azri, 10, dan Noraliannasrin Mohd Azri, 9, dari Felda Kota Gelanggi 2 menerima bantuan itu minggu lalu melalui sekolah mereka, Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Kota Gelanggi 2.

Sebelum ini, mereka didakwa kerap terputus bekalan makanan, tidak membawa wang ke sekolah dan tiada kemudahan kebajikan lain sepanjang menjalani kehidupan di felda berkenaan.

Guru Besar sekolah itu, Jamaludin Baharun berkata, dua murid berkenaan menerima basikal, beg sekolah, peralatan belajar dan seragam sekolah.

Sumbangan itu disampaikan oleh Ketua Kampung Felda Kota Gelanggi 2, Wan Mahmod Wan Mohamad.

Jamaludin berkata, pengurusan sekolah prihatin dengan kesusahan ditanggung oleh keluarga dua beradik itu dan berusaha untuk membantu supaya mereka dapat meneruskan persekolahan seperti rakan lain.

“Saya berasa syukur kerana ada insan mulia terpanggil menzahirkan simpati dengan nasib kedua murid ini dan menyalurkan bantuan peralatan persekolahan dan wang tunai dengan segera menerusi Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid sekolah ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, semalam.

Kesusahan dua beradik itu serta ibu mereka, Noratikah Che Darus, 33, dan adiknya, Noraina Khairi Fifin, 1, pernah mendapat liputan media sebelum ini.

Wan Mahmod berkata, Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) turut menyokong dengan pelbagai cara untuk membantu kebajikan kedua murid berkenaan.

“Kita akan terus bekerjasama dengan pihak sekolah khususnya memantau kebajikan dan pelajaran murid miskin ini menerusi usaha mendapatkan dana daripada penderma supaya mereka selesa belajar,” katanya.

Sementara itu, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SK Felda Kota Gelanggi 2, Anuar Rahman berkata, pihak sekolah memperoleh sumbangan daripada penderma itu dan menguruskan pembelian peralatan persekolahan untuk keselesaan mereka.

“Kita juga menyediakan dua basikal untuk mereka berulang-alik ke sekolah dan belanja keperluan harian manakala selebihnya diserahkan kepada ibu kanak-kanak ini untuk kebajikan lain,” katanya.


0 comments:

share2