Kuala Lumpur - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mencadangkan supaya beberapa ciri keselamatan tambahan bagi eskalator dipertingkat untuk mengelak kejadian seperti kaki kanak-kanak tersepit.
Menterinya Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata cadangan itu termasuk mengadakan penampan antara dinding eskalator dan tangga besi.
"Dengan ciri keselamatan tambahan, kemungkinan kejadian kemalangan dapat dielak," katanya kepada pemberita selepas melawat adik Dzil Mikhail Nasaruddin, 4, yang hancur sebahagian kaki kirinya akibat tersepit pada eskalator di KL Sentral pada Isnin lalu.
Dia kehilangan setengah bahagian kakinya dan tidak dapat disambung semula dan kini dirawat di Wad Kanak-Kanak, Institut Pediatrik, Hospital Kuala Lumpur.
Rohani berkata, pihak pengurusan pusat beli-belah perlu melakukan pemeriksaan lebih kerap ke atas eskalator bagi memastikan ia sentiasa selamat digunakan dan beroperasi dengan baik.
Katanya pihak terbabit juga perlu bertanggungjawab menyediakan notis keselamatan untuk mengingatkan ibu bapa dan pengguna mengenai keselamatan menggunakan eskalator.
Mengenai kejadian itu, Rohani berkata pihaknya kini menunggu laporan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan yang sedang menyiasat kes berkenaan bagi mengetahui punca sebenar kejadian.
Beliau berkata, kementeriannya akan memberi bantuan sewajarnya termasuk sesi kaunseling kepada adik Dzil Mikhail dan ibu bapanya yang masih trauma dengan kejadian itu.
"Selain rawatan hospital, kita akan beri kaunseling dari semasa ke semasa kepada ibu bapanya agar tidak terus menyalahkan diri mereka atas apa yang terjadi," katanya.
Beliau berkata, ibu bapa Dzil Mikhail juga dinasihat agar mendaftar anak tunggalnya itu sebagai Orang kurang upaya (OKU) dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat agar mendapat pelbagai faedah ditawarkan.
Sementara itu Pengarah Hospital Kuala Lumpur, Datuk Dr Zaininah Mohd Zain berkata Dzil Mikhail akan menjalani cantuman kulit selepas lukanya sembuh.
"Selepas rawatan tersebut, kanak-kanak itu akan turut menjalani sesi rehabilisasi dan fisioterapi untuk rawatan susulan," katanya.
Beliau berkata, rawatan berkenaan akan bersifat jangka panjang sehingga Dzil Mikhail boleh berjalan dengan stabil walaupun bakal terdapat kekurangan pada kakinya.
0 comments:
Post a Comment