Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, February 23, 2016

DAP SERLAHKAN KEPIMPINAN DIKTATOR BUANG DUA ADUN PKR


DAP


Kota Bharu – Tindakan Setiausaha Agung DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menamatkan kontrak dua Adun PKR dari jawatan GLC Pulau Pinang menunjukkan ciri diktator dan dua muka (double standard) dalam kepimpinan beliau dan DAP.

Felo Kanan Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM), Dr Kamarul Zaman Yusof berkata, berdasarkan apa yang berlaku di antara Lim Guan Eng dan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini, keberanian Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengkritik Lim Guan Eng dalam isu ini memungkinkan kedudukan Azmin akan tergugat.

“DAP ini nama sahaja Parti Tindakan Demokratik dan dalam perlembagaan saja kata dia mengamalkan demokrasi, tetapi tindak-tanduk pemimpin DAP khususnya Lim Guan Eng jelas membuktikan bahawa ia bukanlah sebuah parti yang menjunjung nilai-nilai demokrasi,” katanya.

Beliau mengulas tindakan Lim Guan Eng yang mendakwa tidak menyangka Mohamed Azmin Ali masuk campur dalam pentadbiran kerajaan Pulau Pinang selepas menyelar tindakannya memecat dua adun PKR dalam agensi dan syarikat berkaitan negeri.

Menurutnya, dalam isu-isu yang mempunyai kepentingan negara seperti National Security Council Bill dan perjanjian perkongsian Trans-pasifik (TPP) sebelum ini para pemimpin tinggi DAP termasuk Lim Kit Siang sendiri berdegar-degar meminta Ahli Parlimen BN menggunakan conscience vote (mengundi mengikut pertimbangan sendiri) kononnya bagi menghormati demokrasi.

“Mengapa pula dalam isu yang menyentuh kepentingan negeri, Guan Eng menyifatkan Adun-adun PKR yang mengundi mengikut conscience vote sebagai mereka yang menikam dari belakang? Tidakkah ini double standard namanya?

“Dan apabila Lim Kit Siang tidak berani menegur tingkah laku melampau anaknya sedangkan ia bertentangan dengan prinsipnya sendiri maka nyatalah Lim Kit Siang juga bukan pemimpin yang benar-benar berpegang kepada prinsip (berpegang kepada prinsip hanya bila prinsip ini menguntungkan DAP sahaja),”katanya.

Dr Kamarul yang juga Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (Mapan), Universiti Utara Malaysia turut memberitahu, berdasarkan kepada apa yang berlaku kepada Datuk Seri Abdul Hadi maka tidak mustahil jika akan ada gerakan untuk menjatuhkan kedudukan Mohamed Azmin sama ada sebagai Timbalan Presiden PKR atau Menteri Besar Selangor disebabkan keberanian beliau melawan kehendak Lim Guan Eng ini.

“Pada masa yang sama, apa yang berlaku di Pulau Pinang sehari dua ini menjadi bukti nyata bahawa Perjanjian Pakatan Harapan yang ditandatangani oleh pemimpin tertinggi PKR, DAP dan PAN baru-baru ini hanya indah khabar dari rupa sahaja.

“Perjanjian tersebut hanya wujud di atas kertas sahaja, di mana mekanisme dalaman bagi mengawal pertikaian antara parti-parti komponen yang diwarwarkan dulu? Jika ia berfungsi mengapa pemimpin PKR dan DAP masih bertikai secara terbuka tanpa dikenakan apa-apa tindakan?,”katanya.

Menurutnya, semua ini tidak syak lagi akan menghilangkan keyakinan rakyat Malaysia kepada kemampuan DAP untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negara dalam PRU 14 nanti.


0 comments:

share2