Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, January 3, 2016

[TIOMAN] 'JO' SI PENYU BUTA HILANG LAGI


Jo


Seekor penyu buta yang sebelum ini dilaporkan hilang dipercayai dicuri di kolam perlindungan Projek Penyu Juara yang terletak di Kampung Juara, di sini, merupakan kehilangan kali kedua selepas pernah hilang sekitar tahun 2012.

Menurut Ketua Kampung Juara, Ab Razib Ali Awang, penyu yang dikenali dengan gelaran ‘Jo’ itu berjaya ditemui di laut oleh pasukan pencari selain pada waktu itu bukan musim ombak besar yang tidak menyukarkan operasi pencarian.

Namun, beliau menolak dakwaan setengah pihak yang mengaitkan kehilangan kali kedua penyu itu dengan unsur curi atau khianat kerana percaya ia telah dilepaskan ke laut oleh individu yang mempunyai semangat pencinta haiwan yang tinggi.

“Ini bukan kali pertama ia hilang tetapi sudah kali kedua namun begitu kehilangan sebelum ini ia berjaya ditemui selepas operasi mencari dilakukan dan dipelihara semula di tapak Projek Penyu Juara.

“Ketika itu saya yakin ada individu yang membuangnya ke laut kerana mustahil ia boleh keluar sendiri dari kolam. Bagi kes kehilangan kali kedua ini pun saya percaya motifnya juga sama dan menolak unsur curi atau khianat seperti yang didakwa,” katanya kepada Sinar Harian.

Kali terakhir reptilia berusia 9 tahun itu dilihat dalam kolam tempat haiwan itu membesar ialah pada jam 11 malam 31 Disember lalu manakala kehilangan penyu seberat 35 kilogram itu disedari petugas di pusat Projek Penyu Juara kira-kira jam 9 pagi Jumaat lalu.

Ab Razib turut percaya ramai pelancong yang mahu melihat penyu itu bebas disebabkan ia sudah besar dan telah terkurung lama dalam kolam di tapak projek itu kerana ramai yang pernah bertanya.

“Tidak dinafikan ada pelancong di sini yang pernah bertanya kenapa ia masih dikurung sedangkan ia sudah besar namun petugas di pusat pemeliharaan itu biasanya akan menjawab kerana penyu itu buta,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Muhammad Aidil Roneh Abdullah yang dihubungi mengesahkan menerima laporan dan kes dirujuk kepada Jabatan Perikanan untuk tindakan.

"Ia disedari hilang ketika pengadu hendak membuat rutin harian memberi makan kepada penyu buta berkenaan di tempat Projek Penyu Juara namun mendapati ia telah tiada.

"Penyu bernama Jo itu telah dirawat selama 3 bulan dan diletak dalam sangkar di laut yang berukuran 50 kaki persegi. Berdasarkan aduan, pengadu dia tidak mengesyaki sesiapa, " katanya.


0 comments:

share2