Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, January 3, 2016

EMPAT MINGGU BERLALU TANPA TUNKU JALIL


Empat minggu berlalu tanpa Tunku Jalil


Johor Bahru - Cuaca mendung dan hujan sejak pagi semalam, mengundang rasa hiba Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.

Sekali lagi, status bonda Almarhum Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim di laman Facebook miliknya meruntun hati setiap pembacanya.

Status yang dimuat naik kira-kira 1.30 petang itu, mendapat perhatian ramai.

“Hari ini genap empat minggu Jalil meninggalkan kita. Keadaan hujan, mendung dan suram sama seperti kesedihan dan air mata di hati saya. Saya rindukan kamu Lil,” katanya yang ditulis dalam bahasa Inggeris.

Sebelum ini, coretan warkah buat anakku, Jalil oleh Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah pada hari ketiga kemangkatan putera ketiganya itu di laman sosial tersebut turut menyentuh hati pembaca.

Status tersebut berkisarkan kerinduan terhadap anakanda keempatnya bersama Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, yang kembali ke rahmatullah pada 5 Disember lalu, akibat kanser.

Kerinduan seorang ibu kepada anaknya itu turut mendapat komen dalam kalangan pembaca.

“Saya tidak dapat membayangkan kesedihan yang ditanggung. Tiada ibu bapa inginkan pemergian anak sebelum mereka. Bertabahlah, bahawa dia tidak lagi menanggung sakit dan berada di tempat yang lebih baik,” kata Dorothy Lim salah seorang pengikut Facebook Raja Zarith Sofiah.

Pemergian Almarhum Tunku Abdul Jalil juga seakan dirasai semua pengikutnya.

“Raja Permaisuri, meskipun saya tidak pernah bertemu Almarhum namun secara tiba-tiba saya juga merasai pemergiannya ketika menunaikan solat Subuh pagi tadi,” kata Azlindah Hasan.

Malah, tidak kurang juga yang memberi kata-kata semangat buat Raja Zarith Sofiah.

“Semoga Almarhum dicucuri rahmat Allah dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman, Amin. Kuatkan semangat, anda seorang ibu dan permaisuri di hati kami,” katanya Rozana Kamal.


0 comments:

share2